Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berdepan tekanan besar selepas pihak pendakwaan mendakwa beliau mengarahkan dana parti sebanyak RM1 juta ‘diclearkan’ bagi mengelak disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Arahan itu dikatakan dibuat melalui panggilan telefon kepada bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali.
IKLAN
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa tindakan Syed Saddiq memberi arahan tersebut adalah tidak jujur serta membawa maksud kepada satu perbuatan pecah amanah.
Arahan untuk elak wang dirampas SPRM?
Menurut Wan Shaharuddin, Syed Saddiq telah meminta wang itu ‘diclearkan’ kerana khuatir ia akan dirampas SPRM, selain turut meminta saksi meletakkan tarikh kebelakang dalam dokumen berkaitan.
Perayu mengarahkan SP13 (Rafiq) untuk ‘clearkan’ wang itu dan ada keterangan menunjukkan dia menyuruh bekas Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy dan seorang lagi saksi, meletakkan tarikh kebelakang di resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.- Katanya.
Katanya lagi, perbualan telefon itu menyatakan dengan jelas perintah untuk keluarkan dana, malah saksi juga mengakui diarahkan agar wang tidak disimpan di rumah.
Bukan tuduh pecah amanah, tetapi bersubahat…
Syed Saddiq, 33, bukan dituduh melakukan pecah amanah secara langsung, sebaliknya dituduh bersubahat dalam tindakan Rafiq melakukan pecah amanah.
Kata Wan Shaharuddin, beban pendakwaan hanyalah untuk membuktikan bahawa semua tindakan itu berpunca daripada arahan Syed Saddiq sendiri.
Hakim Mahkamah Tinggi mensabit dan menjatuhkan hukuman berlandaskan kepada undang-undang serta keterangan yang betul. Tiada kekhilafan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.- Kata Wan.
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Syed Saddiq masih bebas buat masa ini…
Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam kes yang membabitkan pecah amanah RM1 juta ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda.
Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan kedua atas kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018.
Pssttt! Sebagai pemimpin, setiap sen yang diamanahkan rakyat bukan milik peribadi untuk digunakan sewenangnya. Ketelusan dan integriti perlu menjadi keutamaan. Jangan jadikan kuasa sebagai jalan untuk lari dari tanggungjawab, kerana kebenaran tetap akan terbongkar akhirnya.