Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dimasukkan ke penjara, semalam isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula didapati bersalah.
Keputusan ini sudah pasti mengecewakan Rosmah dan rasa sedih itu dapat dilihat ketika membuat kenyataan di kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi.
Katanya, mahkamah merupakan tempat mendapatkan keadilan dan beliau sentiasa mengingatkan pasukan peguamnya untuk bercakap benar kerana itulah cara beliau dibesarkan.
Jelasnya lagi, beliau hormat dengan keputusan mahkamah dan mahu meninggalkan mahkamah dengan memori yang baik terhadap sistem keadilan.
Bangga dengan sumbangan terhadap negara
Dengan nada sebak, Rosmah berkata beliau pernah menjadi wanita pertama negara tetapi tidak mahu menyebut tentang sumbangannya.
Namun, jelasnya beliau banyak memulakan program untuk memajukan kanak-kanak di negara ini dan berasa bangga dengan sumbangan itu.
Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun.”
Tak pernah terfikir nak pengaruhi Najib sebagai Perdana Menteri
Bukan itu saja, Rosmah turut menegaskan beliau tidak pernah terfikir untuk menipu mana-mana persatuan yang dipimpin olehnya serta mengakui tidak pernah mempengaruhi suaminya.
Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya buka mulut, dia (Najib) akan kata awak isteri saya, jangan masuk campur.”
Peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh dilaporkan telah mengemukakan rayuan supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan.
Jagjit meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda minimum kepada Rosmah selepas mengambil kira perwatakan dan jasanya dalam membantu kanak-kanak yang tidak berpendidikan.
“Lebih baik bunuh saya”- reaksi Rosmah sebaik dijatuhkan hukuman
Timbalan Pendakwa Raya Kanak, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagaimanapun menggesa mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan dilakukan Rosmah.
Jelasnya, Rosmah berhadapan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima bagi setiap pertuduhan.
Sebarang keputusan harus membuat mereka yang ingin mengambil rasuah, tidak berbuat demikian. Jika hanya penjara sehari, ia akan memberi isyarat salah kepada rakyat. Maksimum atau hampir maksimum hukuman perlu diberikan. Korupsi adalah kesalahan serius.”
Mendengar kenyataan daripada Gopal itu, Rosmah terus berkata, “Lebih baik bunuh saya”.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan dengan serentan dan didenda RM970 juta.
Pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun dibenarkan untuk ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan dan jika denda gagal dibayar, beliau perlu jalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Sayalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang selalu temani awak di saat susah nak tidur tu. Nak tahu apa yang terkini dan viral boleh cari nama abang ok!