
Oh! Geekz
Kita Dijangka Bakal Terima MyKad Baharu Dengan Ciri Keselamatan Tinggi
Rakyat Malaysia dijangka akan menerima MyKad baharu dengan ciri keselamatan yang lebih canggih bagi menggantikan versi sedia ada yang diperkenalkan sejak 2012.
Memetik laporan TV3, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, menjelaskan kad identiti baharu ini direka untuk menangani isu pemalsuan dan kebocoran data.
Rekaan baharu dengan teknologi canggih
MyKad baharu ini hadir dengan rekaan moden, termasuk elemen tulisan laser dan hologram. Diperbuat daripada bahan polycarbonate yang telah diuji ketahanannya, ia menawarkan keselamatan lebih baik bagi memastikan identiti warganegara dilindungi.
Ia juga bagi membendung sebarang cubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan MyKad yang menjadi dokumen penting bagi Malaysia.
Ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar dengan piawaian keselamatan yang dipertingkatkan. Kad ini kita buat untuk bendung masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data.- Kata Dr Shamsul Anuar semasa sesi Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, mengesahkan bahawa semua fungsi MyKad lama akan dimansuhkan sebaik sahaja kad baharu ini dilancarkan. Langkah ini merupakan usaha serius kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan dokumen identiti.
Kos & pelaksanaan terancang
Menurut beliau lagi, kajian pasaran sedang dijalankan untuk memastikan kos penggantian tidak membebankan kerajaan sambil memaksimumkan nilai faedah.
Dengan usaha ini, rakyat Malaysia boleh menantikan dokumen identiti yang lebih selamat dan moden, sesuai dengan keperluan era digital.
#OhmediaNasihat
Identiti anda adalah aset penting. Sentiasa pastikan maklumat peribadi anda dilindungi, terutamanya dalam dunia yang semakin canggih ini. MyKad baharu ini adalah langkah ke hadapan, jadi pastikan anda bersedia untuk proses penggantian apabila tiba masanya!

Jap!
Baca dulu respon netizen di Facebook & Telegram.
Rujukan kami: BuletinTV3
