Oh! Negara
Formula 1 Sah Kembali Ke Sepang, Malaysia Jadi Tuan Rumah GP Bahrain
Formula 1 Sepang kembali pada Oktober apabila Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain 2026.
Selepas hampir sembilan tahun menyepi, deruman enjin Formula 1 akhirnya bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Malaysia dipilih untuk menjadi lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix dari 2 hingga 4 Oktober 2026. Perlumbaan itu akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Singapura.
Malaysia bantu Bahrain anjur perlumbaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berpeluang bercakap dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.
Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, berhubung penganjuran perlumbaan tersebut.
Anwar merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
We are honoured to support the Kingdom of Bahrain, Formula 1 and the FIA in hosting the Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix at Sepang International Circuit this year.- Katanya.
Berlangsung Oktober ini

Acara itu bakal menggunakan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia. Menurut Formula 1, penganjuran tersebut masih tertakluk kepada beberapa perjanjian akhir, pengesahan rasmi serta kelulusan Majlis Sukan Permotoran Dunia. Maklumat mengenai penjualan tiket pula akan diumumkan tidak lama lagi.
Sepang sebelum ini mula menjadi venue Formula 1 pada tahun 1999. Perlumbaan terakhir di litar berkenaan berlangsung pada 2017 sebelum Malaysia tidak lagi berada dalam kalendar F1.
Bukti kemampuan Malaysia

Menurut Anwar, kerjasama ini bukan sekadar melibatkan penganjuran acara sukan bertaraf dunia Sebaliknya, ia mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan serta kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.
Malaysia juga bersedia menyambut kehadiran pasukan, pegawai FIA serta peminat Formula 1 dari seluruh dunia. Penganjuran ini sekali gus menjadi peluang untuk mempamerkan kemudahan, keupayaan operasi dan layanan mesra negara.

