Setelah menjamu selera ketika waktu berbuka, sudah pasti korang nak makan pencuci mulut kan? Antara pencuci mulut yang menjadi pilihan orang ramai ialah pengat pisang. Hidangan ini turut sesuai untuk dimakan ketika moreh.
Antara pisang yang paling sesuai digunakan untuk membuat pengat ialah pisang tanduk. Jadi pada edisi #JUADAH kali ini, kami ingin kongsikan kepada anda cara-cara membuat pengat pisang.
Bahan yang diperlukan
3-4 biji pisang tanduk
2 mangkuk santan pekat
2 mangkuk santan cair
(ATAU boleh gantikan dengan 2 santan kotak dan 2 cawan air)
1/2 cawan sagu, bersihkan
2-3 keping nisan/gula melaka
1/3 cawan gula pasir
2 helai daun pandan
garam secukup rasa
Cara penyediaan
Buang kulit pisang tanduk dan hiris setebal 1-2 cm.
Rendam dalam air kapur selama 1/2 jam (optional).
Bilas pisang dan masukkan ke dalam periuk. Masak pisang bersama santan cair, sagu, gula melaka, gula pasir, daun pandan dan garam secukup rasa di atas api yang perlahan. Kacau dengan kerap dan perlahan supaya santan tidak berketul.
Masukkan pula santan pekat dan kacau seketika. Apabila kuah mula mendidih, tutup api dan siap untuk dihidangkan.
Kalau korang nak pastikan kuah pengat pisang korang tu tak berketul, korang perlu kerap kacau santan di atas api yang perlahan tau.