Connect with us

Oh! Media

Trend Sambut Hari Lahir Arwah Anak Di Kubur, Apa Hukumnya Mengikut Islam?

kubur

Oh! Islam

Trend Sambut Hari Lahir Arwah Anak Di Kubur, Apa Hukumnya Mengikut Islam?

Bekas Menteri Hal Ehwal Agama dan juga Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur ibu bapa yang menyambut hari lahir anaknya yang sudah meninggal dunia di kubur.

ADVERTISEMENT

Lebih membimbangkan apabila perkara ini seperti sudah menjadi trend sehinggakan ada yang membawa kek dan menyanyikan lagu selamat hari jadi di pusara mereka yang sudah meninggal dunia.

Dr Zulkifli menjawab persoalan netizen di Facebook yang bertanya samaada masyarkat dibolehkan atau tidak dan adakah termasuk dalam perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau ia tidak dibolehkan dalam Islam.

Ringkasan jawapan

Menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa perbuatan tersebut adalah lebih baik jika ditukar dengan menjamu makan kepada anak-anak yatim dan juga memberi makan kepada fakir miskin kerana manfaatnya jauh lebih besar buat dirinya, di samping memohon keampunan buatnya

Dengan sebab itu, mengimbau kepada sunnah dan sirah Nabi SAW, Rasulullah SAW sentiasa ziarah kubur untuk memberi syafaat kepada ahli kubur dengan doa atau mengambil faedah untuk mengingati kematian dan muhasabah diri.

Bahkan kita sendiri ada diajar untuk berdoa agar diselamatkan daripada azab kubur.

Jawapan penuh

Telah sampai kepada kami satu soalan berkenaan ibu bapa yang telah membawa kek ke kubur anaknya yang sudah meninggal dunia, di samping menyanyikan lagu “Happy birthday.” Persoalan seperti ini sentiasa berlegar dalam khalayak masyarakat sama ada dibolehkan atau tidak dan adakah termasuk dalam perbuatan yang bercanggah dengan akidah, atau ia tidak dibolehkan dalam Islam.

Untuk menjawab masalah ini dengan lebih terperinci, kami noktahkan kepada beberapa noktah.

  1. Kematian merupakan hal yang pasti berlaku kepada setiap manusia yang bernyawa.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Dan kita sudah tentu akan kembali kepadanya kerana kita adalah milik-Nya.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Surah al-Baqarah: 156)

  1. Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka kewajipan kepada yang hidup adalah untuk memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengebumikannya di tanah perkuburan, bahkan ia menjadi fardhu kifayah kepada mereka yang masih hidup untuk melakukannya. Manakala bagi mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, ketika itu mereka berada dalam hukum alam barzakhiyyah yang berbeza dengan alam dunia ini.
  2. Justeru, cara untuk kita berinteraksi dengan alam barzakh atau mereka yang ada dalam alam kubur, telah diajar oleh Rasulullah SAW. Di antara adabnya ialah:
  • Mengucapkan salam kepada mereka; penghuni kubur dengan lafaz:

السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الـمُؤْمنِيْنَ وَالـمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada kalangan orang-orang Mukmin dan MuslimSesungguhnya kami dengan izin Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.

Atau lafaz:

السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kuburSemoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.”

  • Mendoakan si mati seperti mana nas doa dan salam di atas.
  • Sebahagian ulama mengharuskan untuk bersedekah dengan bacaan ayat al-Quran seperti yang disebutkan dalam sebahagian riwayat

Justeru, menziarahi kubur tujuannya adalah tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat dan bukannya berkenaan kehidupan mahupun  kelahiran.

Berdasarkan nas di atas, kubur merupakan tempat yang luar biasa. Oleh itu, Islam menggalakkan umat islam untuk menziarahi kubur dengan tujuan untuk mengingati mati. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Nabi SAW menziarahi kubur ibunya lalu Baginda menangis dan orang yang di sampingnya juga menangis, kemudian Baginda bersabda:

 اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي في أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا، فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي، وَاسْتَأْذَنْتُهُ في أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا، فَأُذِنَ لِي، فَزُورُوا القُبُورَ؛ فإنَّهَا تُذَكِّرُ المَوْتَ.

Maksudnya: “Aku meminta izin daripada Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.

Riwayat Muslim  (976)

Saidina Uthman bin Affan R.A tatkala menziarahi kubur, beliau menangis. Lalu ditanya kepadanya mengapa beliau menangis, sedangkan ketika diingatkan tentang syurga dan neraka, beliau tidak menangis. Beliau menjawab, ini kerana ia adalah tempat persinggahan yang pertama daripada persinggahan akhirat. Jika seseorang selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih mudah. Sebaliknya, sekiranya seseorang tidak selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih sukar.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada riwayat daripada Hani’ maula Uthman, katanya:

كَانَ عُثْمَانُ، إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ، فَقِيلَ لَهُ: تُذْكَرُ الجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا؟ فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ القَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الآخِرَةِ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ

Maksudnya: “Dahulu Uthman apabila berdiri di hadapan kubur, beliau sering menangis sehingga janggutnya menjadi basah. Lalu ditanyakan kepadanya: ‘Apabila kamu diingatkan tentang syurga dan neraka, kamu tidak menangis, tetapi kamu menangis kerana ini?’ Uthman menjawab, Rasulullah SAW pernah bersabda: bersabda: ‘Sesungguhnya kubur adalah tempat persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan akhirat. Sekiranya seseorang selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih mudah. Sebaliknya, sekiranya seseorang tidak selamat daripadanya, maka segala yang setelahnya akan lebih sukar.’

Riwayat al-Tirmizi (2308) dan beliau menyatakan, hadith ini hasan gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan daripada hadith Hisyam bin Yusuf.

Perkuburan atau alam barzakh ini ada dua perkara yang perlu difahami iaitu adanya nikmat kubur dan azab kubur. Perbahasan lanjut mengenainya, bolehlah merujuk dan lihat dalam aplikasi kami, al-Inarah.

Tambahan lagi, kita tidak mengetahui akan hakikat mereka dalam kubur, maka selayaknya kita berdoa kepada si mati.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

(Surah al-Hasyr: 10)

Antara yang diajar oleh Nabi SAW:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Dawud (3201), al-Tirmizi (1204) al-Nasa’i (1986), Ibn Majah (1498) dan lain-lain.

Dengan sebab itu, mengimbau kepada sunnah dan sirah Nabi SAW, Rasulullah SAW senantiasa ziarah kubur untuk memberi syafaat kepada ahli kubur dengan doa atau mengambil faedah untuk mengingati kematian dan muhasabah diri. Bahkan kita sendiri ada diajar untuk berdoa agar diselamatkan dari azab kubur.

Kesimpulan

Menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa perbuatan tersebut adalah lebih baik jika ditukar dengan menjamu makan kepada anak-anak yatim dan juga memberi makan kepada fakir miskin kerana manfaatnya jauh lebih besar buat dirinya, di samping memohon keampunan buatnya.

Maka, tindakan sedemikian hendaklah dihentikan dan digantikan dengan doa dan begitu juga digantikan dengan sedekah kepada si mati. Inilah yang dianjurkan dalam Islam.

Kami telah bahaskan berkenaan pahala yang sampai kepada si mati, walaupun dia sudah berada di alam barzakh. Mudah-mudahan tindakan yang kita lakukan ini, dipandu oleh syarak dan disluh oleh hadyu nabi dan seterusnya kita menjadi orang yang benar-benar mengikuti ajaran Islam. 

Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah keampunan-Nya dan diselamatkan daripada azab neraka, fitnah kubur., Sebagaimana Nabi SAW mengajar kita satu doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”

Diharapkan isu ini terjawab dan bagi mereka yang bercadang untuk melakukan perbuatan terbabit, bolehlah ubah dengan cara yang lebih baik.

Kredit: bukudrzulkifli

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media.

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas