Juara program realiti Lawak Solo, Mohamad Danial Mohd Zaini, menerusi hantaran di Instagram menjelaskan, impersonation atau tiru gaya adalah salah satu cabang dalam komedi.
Namun, impersonation yang dibuatnya tidak menjurus secara peribadi kepada karakter tersebut. Dia sebagai pelawak, tidak memberitahu penonton karakter siapa yang ditiru.
Dia membiarkan penonton menentukannya sendiri dari segi suara, gaya, bahasa tubuh dan mimik muka. Itulah yang dimaksudkan dengan impersonation.
Secara ringkasnya, dia tidak meniru ‘karakter’ sebagai ‘karakter’ itu sendiri.
Jelas Danial lagi, selama bertahun-tahun dia memperjuangkan cabang komedi ini supaya ianya diterima masyarakat.
Katanya, sebagai pelawak yang memperjuangkan cabang komedi ini, dia sentiasa menjaga batas dan tidak akan menyentuh isu peribadi yang menjurus kepada karakter yang ditiru.
Danial sebelum ini pernah membawa watak figura terkenal seperti Tun Mahathir, Datuk Chef Wan, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.