Polis Johor hari ini mengesahkan telah menahan bekas suami kepada seorang pempengaruh terkenal bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut buat masa ini. Pihak polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.
IKLAN
Pempengaruh popular dengan konten travel…
Pempengaruh yang menetap di Seoul ini memang cukup popular di media sosial, khususnya Instagram dan TikTok, dengan perkongsian tentang pelancongan dan gaya hidup.
Selain aktif berkongsi konten, dia turut mengendalikan sebuah restoran dan agensi pelancongan berpusat di Korea Selatan.
Kontroversi tercetus di TikTok…
Kontroversi mula hangat selepas seorang wanita yang mendakwa sebagai bekas kakak iparnya berkongsi perbualan WhatsApp di akaun TikTok, dipercayai berkaitan isu penipuan ini.
Beberapa pelanggan tampil mendakwa mereka telah ditipu untuk membeli pakej lima hari ke Seoul yang bernilai RM4,000 setiap satu.
Mangsa dakwa tak dapat servis, tak dapat refund…
Mangsa yang membuat pembayaran mendakwa mereka langsung tidak menerima perkhidmatan yang dijanjikan mahupun bayaran balik.
Sehingga kini, difahamkan sebanyak 24 laporan polis telah dibuat terhadap pempengaruh tersebut dengan jumlah kerugian menghampiri RM500,000.
Pempengaruh berkenaan sebelum ini menafikan khabar angin yang mengatakan dia telah melarikan diri ke Jepun.
Sebaliknya, dia menegaskan masih berada di Korea Selatan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah ini.
Usaha bayar balik dan permohon maaf…
Untuk memudahkan proses bayaran balik, dia telah menubuhkan satu kumpulan WhatsApp khas dan memohon maaf secara terbuka di Instagram pada Disember lalu.
Pempengaruh itu juga mengakui berlakunya salah urus kewangan, dengan menyalahkan kejatuhan perniagaan restorannya dan ulasan negatif pelanggan sebagai punca masalah kewangan yang dialami.
Pssttt! Dalam dunia bisnes, amanah dan kepercayaan pelanggan adalah segalanya. Sekali kepercayaan tercalar, susah nak pulihkan semula. Ohmedia harap semua pihak yang terlibat mendapat keadilan yang sewajarnya dan jadikan insiden ini sebagai pengajaran. Hati-hati bila berurusan, walaupun dengan individu yang terkenal!