Oh! Negara
Buat Kenyataan Sensetiviti Agama Di Terengganu, Anwar Ibrahim Arah Ahli Parlimen Disiasat
Anwar arah siasat Ahli Parlimen yang didakwa persoal penutupan premis untuk solat Jumaat di Terengganu, tegas tiada pihak terkecuali dalam isu 3R.
Intipati Berita
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan menyentuh sensitiviti agama ketika berkunjung ke Terengganu.
- Kenyataan itu didakwa mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
- Anwar menegaskan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan tiada pihak terkecuali daripada tindakan jika membangkitkan isu 3R.
- Walaupun Ahli Parlimen itu sudah memohon maaf, keputusan tindakan diserahkan kepada PDRM.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika berkunjung ke Terengganu baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, Anwar bagaimanapun tidak menamakan Ahli Parlimen terbabit ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Apa kenyataan yang dipertikaikan?

Ahli Parlimen itu didakwa mempersoalkan penutupan premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Kenyataan ahli parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.
Dah minta maaf, apa respon Anwar Ibrahim?

Menurut Anwar, walaupun Ahli Parlimen terbabit sudah memohon maaf, keputusan sama ada tindakan perlu diambil diserahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.
Walaupun kini dah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan… apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia).
Beliau turut menegaskan tiada pihak yang terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan jika membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Anwar menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (PN) mengenai tindakan terhadap Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut.
Setakat artikel ini ditulis, identiti Ahli Parlimen terbabit tidak dinyatakan dalam laporan dan polis belum mengumumkan perkembangan siasatan. Oh! Media akan mengemas kini artikel ini sekiranya ada perkembangan terbaru.
Apa maksudnya untuk anda?
Isu 3R ialah garis merah, tak kira siapa yang bercakap, ahli politik atau orang biasa. Sebelum memberi pendapat tentang amalan agama lain di media sosial, fikir dua kali kerana kenyataan yang menyinggung boleh disiasat polis walaupun selepas memohon maaf.
