Trending
“Saya Tak Tahu, Keluarga Pun Tak Dimaklumkan” – Rosmah Mansor Terkejut Dakwaan Wakil Najib Bayar Denda RM50 Juta
Rosmah Mansor tidak mengetahui dakwaan wakil Najib membayar denda RM50 juta bagi membolehkan suaminya menjalani tahanan rumah.
Intipati berita
- Rosmah Mansor mengakui tidak mengetahui dakwaan wakil Najib hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk membayar denda RM50 juta.
- Rosmah turut mendedahkan ahli keluarganya juga tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
- Beliau meminta pihak media mengesahkan kesahihan laporan terlebih dahulu dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
- Najib perlu menjelaskan denda RM50 juta sebagai syarat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Datin Seri Rosmah Mansor mengakui tidak mengetahui mengenai dakwaan wakil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya.
Menurut laporan mStar, Rosmah berkata bukan sahaja dirinya, malah ahli keluarga juga tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya. Sepatutnya kamu beritahu saya.
Rosmah Mansor minta laporan disahkan terlebih dahulu

Ketika ditemui, Rosmah turut ditunjukkan tangkap layar tajuk berita yang melaporkan dua individu dipercayai wakil Najib dilihat meninggalkan kaunter pembayaran di kompleks mahkamah berkenaan.
Bagaimanapun, Rosmah mempersoalkan kesahihan laporan tersebut dan mengingatkan supaya tidak membuat kesimpulan sekiranya perkara itu belum disahkan.
Kalau salah laporan nanti, mereka tarik balik berita itu.
Terdahulu, Rosmah hadir ke Mahkamah Tinggi bagi prosiding pengurusan kes berhubung kes solar hibrid yang dihadapinya. Beliau turut diiringi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.
Najib Razak perlu bayar denda RM50 juta untuk tahanan rumah

Untuk rekod, sejak awal minggu ini timbul desas-desus bahawa wakil atau peguam Najib akan membuat pembayaran denda RM50 juta berkenaan.
Pada 18 September lalu, dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, perintah itu tertakluk kepada syarat Najib menjelaskan denda RM50 juta berkenaan.
Susulan itu, UMNO turut melancarkan ‘Tabung Solidariti Najib Razak’ bagi mengumpul dana RM50 juta memandangkan aset peribadi Najib dan keluarganya masih dibekukan.
Pada 25 September lalu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa Najib tidak mempunyai wang sebanyak RM50 juta untuk membolehkan beliau menjalani tahanan rumah.
