Trending
Indonesia Dakwa 80% Internet Singapura Berisiko Lumpuh Jika Kabel Dasar Laut Terputus
Indonesia mendakwa sehingga 80 peratus kapasiti sambungan internet Singapura berisiko terjejas sekiranya kabel dasar laut yang melalui perairannya terputus atau sengaja dipotong.
Intipati Berita
- Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid mendakwa 80 peratus kapasiti sambungan internet Singapura berisiko lumpuh jika kabel dasar laut terputus.
- Kenyataan itu dibuat selepas bekas ahli Parlimen Singapura, Calvin Cheng berkongsi infografik mengenai kebergantungan internet Indonesia terhadap Singapura.
- Calvin mendakwa kira-kira 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia melalui Singapura sebelum menjelaskan republik itu tidak akan memotong sambungan tersebut.
- Indonesia menegaskan infrastruktur digital perlu dijaga bersama kerana gangguan boleh memberi kesan kepada kedua-dua negara dan sambungan global.
Indonesia memberi peringatan bahawa Singapura juga berdepan risiko gangguan internet besar-besaran sekiranya berlaku masalah terhadap kabel dasar laut yang menghubungkan kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid berkata sebahagian besar laluan Sistem Komunikasi Kabel Laut (SKKL) yang bersambung ke Singapura melalui perairan Indonesia.
Benarkah 80% internet Singapura boleh lumpuh?

Menerusi hantaran di Instagram pada 27 Oktober 2026, Meutya mendakwa sehingga 80 peratus kapasiti sambungan Singapura berisiko lumpuh sekiranya kabel berkenaan terputus atau dipotong.
Jika terpotong atau dipotong, 80% kapasitas konektivitas Singapura juga terancam lumpuh.- Dakwanya.
Bagaimanapun, angka 80 peratus tersebut merupakan dakwaan yang dikemukakan Meutya dan sumber atau kaedah pengiraan angka itu tidak diperincikan dalam hantaran berkenaan.
Kenyataannya itu dibuat sebagai respons kepada bekas Anggota Parlimen Dilantik Singapura, Calvin Cheng yang sebelum ini membangkitkan isu kebergantungan internet Indonesia terhadap republik tersebut.
Kenapa Calvin Cheng bangkitkan soal ‘potong’ internet?

Pada 25 Oktober 2026, Calvin memuat naik infografik bertajuk Indonesia’s Internet Dependence on Singapore di platform X.
Infografik itu mendakwa kira-kira 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia melalui Singapura, termasuk menerusi pusat data, perkhidmatan pengkomputeran awan dan rangkaian kabel dasar laut.
Calvin kemudian menulis pertanyaan ringkas “Cut?” pada hantaran tersebut sehingga mencetuskan perhatian. Namun, beliau kemudiannya menjelaskan bahawa Singapura tidak akan mengambil tindakan sedemikian.
Kami masyarakat bertamadun yang mematuhi undang-undang. Sudah tentu kami tidak akan berbuat demikian.
Menurut Channel NewsAsia pada Jun 2026, pegawai Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia sendiri sebelum ini mengakui sekitar 90 peratus trafik internet antarabangsa negara itu bergantung kepada laluan melalui Singapura.
Indonesia ketika itu turut menyatakan hasrat untuk mempelbagaikan laluan rangkaiannya bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu koridor sahaja.
Indonesia turut bangkitkan kepentingan pasaran digitalnya
Dalam respons sama, Meutya turut menegaskan kepentingan Indonesia sebagai pasaran kepada syarikat teknologi global yang beroperasi di rantau ini.
Beliau berkata jumlah penduduk Indonesia adalah sekitar 47 kali ganda berbanding Singapura dengan kira-kira 267 juta rakyatnya mempunyai akses kepada internet.
Menurut Meutya, saiz pasaran tersebut menjadi antara faktor penting kepada syarikat teknologi global yang memilih untuk melabur dan beroperasi di Singapura.
Bagaimanapun, beliau menegaskan infrastruktur digital tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk saling mengancam kerana rangkaian tersebut memainkan peranan penting kepada sambungan global.
Apa maksudnya untuk anda?
Baca juga: Indonesia Minta Malaysia Dan Singapura Faham Isu Jerebu, Dakwa Kebakaran Hutan Fenomena Alam
Pertikaian ini menunjukkan betapa saling berkaitnya infrastruktur digital antara negara. Walaupun Indonesia mempunyai kebergantungan besar kepada Singapura sebagai hab sambungan antarabangsa, rangkaian kabel dasar laut yang digunakan juga merentasi beberapa wilayah dan dikendalikan melalui pelbagai konsortium.
Pakar teknologi yang dipetik Katadata turut menjelaskan bahawa tiada satu “suis” di Singapura yang boleh terus mematikan keseluruhan internet Indonesia kerana rangkaian kabel berkenaan melibatkan pelbagai syarikat dan konsortium antarabangsa.
