Trending
Christy Ng Kesal Individu Dakwa Baki Bank Tinggal RM1 Sebab Tak Hadir Ke Mahkamah, Tapi Aktif Buat Hantaran Di Threads
Christy Ng kesal individu yang didakwa gagal hadir ke mahkamah dengan alasan baki akaun bank kurang RM1. Prosiding ditetapkan semula pada 26 Oktober ini.
Intipati berita
- Christy Ng kesal apabila J Vikneshvra Rau didakwa gagal hadir ke mahkamah dengan alasan tiada kenderaan dan baki akaun bank kurang RM1.
- Lebih mengejutkan, individu terbabit didakwa masih aktif membuat hantaran di Threads walaupun tidak hadir ke prosiding mahkamah.
- Mahkamah mengarahkan Christy mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk PDRM bagi membantu memastikan individu terbabit hadir ke mahkamah. Prosiding seterusnya ditetapkan pada 26 Oktober ini.
Usahawan fesyen terkenal, Christy Ng meluahkan rasa kesal terhadap pemilik akaun media sosial, J Vikneshvra Rau yang didakwa gagal menghadirkan diri ke prosiding mahkamah dengan alasan tidak mempunyai kenderaan dan baki akaun bank kurang daripada RM1.
Menurut laporan Harian Metro, Christy memaklumkan individu terbabit sepatutnya hadir ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran permohonan komital susulan dakwaan kegagalan mematuhi perintah mahkamah untuk menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.
Tak pergi mahkamah tapi aktif dekat Threads?

Menurut Christy, pihaknya sudah beberapa kali cuba menghubungi lelaki berkenaan melalui panggilan telefon, e-mel dan pesanan ringkas sebelum tarikh prosiding.
Bagaimanapun, individu terbabit didakwa menghubungi peguamnya pada pagi hari prosiding untuk memaklumkan bahawa baki akaun banknya kurang daripada RM1 dan dia tidak mempunyai kenderaan untuk ke mahkamah.
Apa yang lebih pelik dan menghairankan, meskipun tidak hadir waktu perbicaraan tetapi individu terbabit masih aktif membuat hantaran di platform Threads.
Mahkamah mengarahkan kami untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu individu terbabit hadir ke mahkamah.
Prosiding baharu permohonan komital Christy Ng ditetapkan pada 26 Oktober

Christy berharap individu terbabit memberikan kerjasama dan hadir ke Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober ini bagi meneruskan pendengaran permohonan komital berkenaan.
Sebelum ini, Christy bersama syarikatnya, Christy Ng Sdn Bhd, memfailkan permohonan komital terhadap Vikneshvra Rau susulan dakwaan kegagalan menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat sepanjang satu halaman penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris seperti diarahkan mahkamah.
Untuk rekod, pada akhir Julai lalu, Christy dan syarikatnya memenangi kes saman fitnah apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pengendali akaun Threads @archnionverse membayar ganti rugi sebanyak RM180,000.
Selain itu, defendan turut diarahkan membayar faedah, kos guaman sebanyak RM10,000 serta menyiarkan permohonan maaf secara terbuka melalui akhbar dan semua akaun media sosial miliknya.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman ingkar pada 13 Februari yang memihak kepada Christy dan syarikatnya.
Mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab atas kesalahan fitnah, gangguan (harassment) serta campur tangan secara tidak sah terhadap perdagangan dan perniagaan syarikat berkenaan.
