Trending
Lee Zii Jia Selesai Pertikaian Dengan Keluarga, Mahkamah Arah EGM LZJ Management Pada 31 Oktober
Intipati berita
- Pertikaian undang-undang antara Lee Zii Jia dengan tiga ahli keluarganya berkaitan kewangan dan pengurusan LZJ Management diselesaikan di Mahkamah Tinggi.
- Tiga ahli keluarga yang dinamakan ialah Lee Chee Hin, Lee Zii Yii dan Lee Tao.
- Mesyuarat Agung Luar Biasa LZJ Management akan diadakan untuk membincangkan hal berkaitan syarikat.
- Bapa dan kakaknya dihalang daripada meluluskan bayaran fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan untuk diri sendiri sementara menunggu keputusan EGM, kecuali gaji bulanan yang dibenarkan.
Pertikaian melibatkan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia dengan tiga ahli keluarganya berhubung urusan kewangan dan pengurusan syarikat LZJ Management akhirnya menemui jalan penyelesaian.
Menurut laporan Kosmo, kes berkenaan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini selepas semua pihak bersetuju untuk menamatkan pertikaian tanpa melalui perbicaraan.
Mahkamah rekod penghakiman persetujuan

Zii Jia bertindak sebagai pemohon, manakala bapanya, Lee Chee Hin, 59, kakaknya, Lee Zii Yii, 30, adiknya, Lee Tao, 35, serta syarikat LZJ Management dinamakan sebagai responden.
Hakim Leong Wai Hong kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selepas semua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peguam serta pihak-pihak yang terlibat kerana menyelesaikan perkara ini secara baik. Ini saya amat berharap. Saya percaya para peguam akan menjalankan peranan yang sepatutnya dalam perkara ini. Terima kasih kepada semua,” kata hakim berkenaan.
Berdasarkan terma penyelesaian, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management akan diadakan pada 31 Oktober 2026, selaras dengan notis bertarikh 16 Oktober 2026.
Kos bagi mengadakan mesyuarat itu juga akan ditanggung oleh LZJ Management

Sementara menunggu EGM berkenaan, bapanya, Chee Hin dan kakaknya, Zii Yii dihalang melalui injunksi daripada meluluskan atau membayar fi pengarah, elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan kepada diri sendiri, kecuali gaji bulanan yang dibenarkan mengikut terma perintah mahkamah.
Selain itu, sebarang keputusan penting berkaitan pengurusan syarikat turut memerlukan kebenaran mahkamah terlebih dahulu. Ia termasuk pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu dan perubahan struktur pemegangan saham.
Zii Jia dakwa miliki 90 peratus kepentingan syarikat
Terdahulu, Zii Jia memfailkan permohonan melalui saman bertarikh 2 Julai 2026 bagi mendapatkan sekatan terhadap keputusan kewangan dan pengurusan syarikat.
Dalam permohonan itu, beliau mendakwa memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao satu peratus.
Zii Jia turut memohon supaya mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan tadbir urus syarikat berkenaan.
Dengan persetujuan yang dicapai, pertikaian ini kini memasuki fasa penyelesaian melalui mekanisme yang dipersetujui semua pihak.
