Trending
Polis Tahan Nenek Bantu Siasatan Kes Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia
Nenek menyedari mangsa tidak berada dalam buaian dan ditemui dalam baldi berisi air sabun.
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah rumah di Seremban pada Selasa, sekali gus membawa kepada penahanan neneknya bagi membantu siasatan.
Wanita berusia 54 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kematian mangsa kira-kira jam 7.20 malam.
Disiasat bawah Akta Kanak-Kanak

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen berkenaan melibatkan kesalahan penderaan, pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut Mohd Yatim, bedah siasat terhadap mangsa sudah dijalankan, namun keputusan penuh masih belum diperoleh.
Mangsa tiada dalam buaian

Mengulas lanjut mengenai kejadian, Mohd Yatim berkata siasatan awal mendapati bayi tersebut berada di rumah neneknya selepas dihantar ibu bapa mangsa sekitar jam 9 pagi sebelum keluar bekerja.
Pada kira-kira jam 2.30 petang, bayi itu dikatakan diletakkan di dalam buaian sebelum neneknya melakukan kerja rumah.
Tidak lama kemudian, neneknya menyedari mangsa tidak berada dalam buaian.
Wanita terbabit kemudian mencari mangsa sebelum menemuinya di dalam baldi berisi air sabun.
Mangsa dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Pssttt! Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini. Dalam masa sama, kejadian ini menjadi peringatan kepada semua penjaga supaya sentiasa peka dengan keselamatan anak kecil di rumah, walaupun hanya ditinggalkan seketika.
Kredit: mStar
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.