Trending
Meriah! Agong Pandu Satria Neo ke Sambutan Hari Kebangsaan 2025, Siti Nurhaliza Persembahkan Lagu Tema
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 penuh gilang-gemilang dengan perarakan, aksi udara TUDM dan persembahan Siti Nurhaliza.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema Malaysia Madani, Rakyat Disantuni rasmi bermula seawal jam 8 pagi tadi.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah tiba dengan penuh bergaya menaiki kereta Proton Satria Neo yang dipandu sendiri oleh Seri Paduka Baginda.
Menurut laporan Kosmo, lima pesawat tempur dan helikopter melakukan terbang lintas sambil lagu kebangsaan Negaraku bergema di udara sebaik sahaja baginda berdua berangkat tiba.
Perarakan dan persembahan hebat
Acara diteruskan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan, tembakan 14 das meriam serta bacaan ikrar Rukun Negara oleh Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbaain bersama 68 pelajar UPNM.
Tahun ini, sebanyak 81 kontinjen dengan 14,062 peserta mengambil bahagian. Turut menyerikan acara ialah 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan perkhidmatan awam.
Tidak ketinggalan, kemuncak sambutan memukau penonton dengan persembahan udara oleh TUDM, APMM, PDRM dan JBPM. Aset hebat seperti SU-30 MKM, Hawk, A400M dan helikopter turut mempamerkan aksi formasi yang mengagumkan.
Siti Nurhaliza tutup pentas dengan lagu patriotik

Sambutan kali ini diakhiri dengan persembahan ‘Citra MADANI’ yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Paling dinanti, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan 2025, Malaysia Madani, Rakyat Disantuni untuk menutup acara penuh bersejarah ini dengan sorakan rakyat yang membanggakan.

