Oh! Negara
Tiga Cedera Lepas Roket Kemboja Jatuh Di Thailand, Sempadan Makin Panas
Tiga cedera selepas roket dari Kemboja mengenai kawasan awam di Thailand.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak selepas berlakunya serangan roket di sempadan kedua-dua negara.
Serangan itu berlaku di kawasan dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud yang menjadi perebutan antara Thailand, Kemboja dan Laos. Kawasan ini juga menempatkan beberapa kuil purba yang cukup bersejarah.
Pertempuran tercetus pagi tadi berhampiran dua kuil yang terletak antara wilayah Surin di Thailand dan Oddar Meanchey di Kemboja.
Tiga orang awam Thailand cedera terkena roket serangan Kemboja…
Menurut kenyataan dari pihak tentera Thailand, serangan itu mencederakan tiga orang awam apabila dua roket BM-21 yang dilepaskan dari arah Kemboja mengenai kawasan komuniti di Daerah Kap Choeng, Surin.
Thailand menuduh askar Kemboja sebagai pihak pertama yang melepaskan tembakan dan mendakwa serangan ini adalah ‘serangan terancang ke atas orang awam’.
Pihak tentera Thailand turut mendakwa pertempuran bermula seawal jam 7:35 pagi apabila mereka terdengar bunyi dron milik Kemboja di ruang udara Kuil Ta Muen.
Kemudian sekitar jam 8.20 pagi, enam askar Kemboja bersenjata dilaporkan menghampiri pagar kawat berduri berhampiran pos tentera Thailand dan melepaskan tembakan ke arah timur kuil yang hanya 200 meter dari pos Thailand.
Kemboja nafi mulakan serangan, dakwa hanya pertahan diri…
Namun, dari pihak Kemboja pula, mereka menafikan tuduhan tersebut. Jurucakap kementerian pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata serangan bermula selepas tentera Thailand melanggar wilayah mereka terlebih dahulu.
Tentera Thailand melanggar integriti wilayah Kerajaan Kemboja dengan melancarkan serangan bersenjata terhadap pasukan Kemboja yang ditempatkan untuk mempertahankan wilayah kedaulatan negara.- Katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Tambahnya lagi, Kemboja hanya bertindak mempertahankan diri berdasarkan hak mereka mengikut undang-undang antarabangsa.
PM Thailand gesa tindakan berhemah, rakyat diminta tinggalkan Kemboja…
Perdana Menteri Sementara Thailand, Phumtham Wechayachai, tampil mengulas isu ini dan menyeru agar semua tindakan diambil secara berhati-hati dan mengikut undang-undang antarabangsa.
Situasi ini memerlukan tindak balas yang berhati-hati, dan kita mesti bertindak mengikut undang-undang antarabangsa. Kita akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kedaulatan negara.- Katanya.
Dalam masa sama, Kedutaan Thailand di Phnom Penh turut mengeluarkan amaran kepada rakyat Thailand agar segera meninggalkan Kemboja kecuali jika mereka mempunyai sebab mendesak untuk terus berada di sana.
Pssttt! Ohmedia harap korang semua ambil pengajaran daripada konflik ini. Kadang-kadang pergolakan sempadan boleh tercetus tanpa amaran dan akhirnya orang awam yang jadi mangsa. Kalau korang ada rancangan nak ke mana-mana negara bersempadan yang sedang bergolak, pastikan dapatkan maklumat terkini dari pihak berkuasa dulu. Keselamatan sentiasa jadi keutamaan!
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.




Amyrul Bakhtiar Kongsi Kisah Hidup Sebelum Viral Dan Lagu Raja Gelek Perodua | Oh! Podcast Ep26
OH! MEDIA 24/04/2026 7:45 PM