Umum

Azizul Akhiri Cabaran Pada Tempat Ke-15 Acara Pecut Individu

Published on

Mohd Azizulhasni Awang gagal dalam misinya untuk meraih kedudukan podium selepas mengakhiri cabaran pada tempat ke-15 daripada 35 peserta dalam acara pecut individu pada pusingan keempat Kejohanan Berbasikal Trek Siri Piala Dunia UCI di United Kingdom pada Ahad.

Sebelum ini, Azizul berjaya meraih perak dalam acara keirin individu sebelum ini, tewas kepada pelumba Great Britain, Jack Carlin pada pusingan ketiga, sekali gus gagal mara ke peringkat suku akhir pada aksi di Lee Valley VeloPark.

Azizulhasni mengakui beliau agak kurang berpuas hati dengan catatan masa berkenaan, namun mengakui faktor kepenatan setelah menyertai acara keirin pada hari sebelumnya selain kurang waktu tidur, menjejaskan prestasi beliau pada perlumbaan berkenaan.

“Walaupun tidak berjaya untuk ke pusingan seterusnya (suku akhir), ini adalah pencapaian terbaik untuk acara pecut individu daripada empat siri Piala Dunia yang telah disertai.

“Paling penting adalah dapat menambah koleksi mata untuk misi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara ini setelah selesa dalam acara keirin,” jelas Mohd Azizulhasni yang dipetik sebagai berkata menerusi laman Instagramnya; @azizulawangofficial.

Carlin mencatat 10.032 saat manakala Mohd Azizulhasni ketinggalan 0.013 saat di belakang.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Comments

Exit mobile version