Di Kampung Delek, Klang, seorang wanita maut manakala rakan cedera selepas motosikal yang ditunggang melanggar sebuah tong sampah yang terletak di bahu jalan.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa, Nurul Fazira Abdullah dan rakan dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Kampung Delek.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.40 petang.
Jelasnya, setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah berlanggar dengan tong sampah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berada di bahu sebelah kiri jalan.
Mangsa tidak dapat mengawal motosikal jenis Modenas ditunggangnya sebelum terbabas.
Pelanggaran telah menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan motosikal. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya cedera di tangan dan kini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Yunos Abd Rahim di 011-25300305.