Tindakan sekumpulan pelajar mengepung pelajar lain sebelum memukulnya beramai-ramai telah mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis untuk membantu siasatan.
Video pergaduhan berdurasi 25 saat itu tular di laman sosial dan pihak polis telah melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terbaru, Harian Metro melaporkan 13 orang pelajar itu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, pihaknya telah selesai merakam percakapan kesemua suspek yang ditahan semalam.
Rakaman percakapan sudah selesai, pagi ini mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Dilaporkan penahanan kesemua pelajar dibuat selepas mangsa yang berusia 16 tahun tampil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk membuat laporan,
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal kes pergaduhan dipercayai akibat ejek mengejek namun siasatan lanjut masih dibuat untuk membantu menyelesaikan kes ini.