Sebelum ini viral di media sosial luahan seorang wanita yang berasa penat apabila sudah mempunyai anak. Dia sebagai ibu tertekan secara mental dan fizikal di awal kelahiran bayi kerana tiada masa bersendiri.
BACA: “Pernah Tak Menyesal Ada Anak?”- Seorang Ibu Luah Perasaan Rindu Berjalan Dan Penat Bila Ada Anak Tapi…
Bercakap mengenai isu serupa, seorang pemanggil di BuletinFM tampil meluahkan rasa rindu dengan kehidupan bujangnya. Difahamkan suaminya bekerja jauh dan dia perlu menguruskan anak seorang diri.
Pemanggil luah rasa tertekan jaga anak
Rasa penat itu kadangkala membuatkan pemanggil rasa lebih baik jika anaknya belum wujud lagi di muka bumi ini. Luahan itu membuatkan penyampai radio berasa amat terkejut.
Namun, pemanggil ini menafikan bahawa dia menyesal mempunyai anak tetapi lebih baik tiada buat masa ini kerana dia sangat tertekan.
Jelas wanita ini, ada masa anak membuatnya gembira tetapi apabila anak meragam dia tak mampu mengawalnya.
Netizen tegur cara DJ respons
Meninjau ke ruangan komen, netizen menegur cara penyampai radio memberi respons kepada luahan itu. Mereka berpendapat sebagai seorang penyampai radio dia tidak seharusnya bersikap menghukum.
Menurut mereka, pemanggil mungkin terlalu tertekan sehingga wujudnya pemikiran seperti itu. Tambahan pula menguruskan anak seorang diri tanpa bantuan suami bukanlah satu tugas yang mudah.
Rata-rata daripada netizen tidak bersetuju dengan cara penyampai radio itu yang seolah-olah menyalahkan ibu kerana berasa sedemikian. Apa-apa pun semoga segala urusan Puan Nurul dipermudahkan.
Kredit: BuletinFM
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.