Padah merendahkan anggota bawahan dan bertengkar dengan orang awam, seorang pegawai polis wanita digantung tugas sementara pihak polis melengkapkan siasatan ke atasnya.
Difahamkan, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pegawai wanita itu ditahan kerja sejak minggu lalu dan berkuat kuasa sehingga proses siasatan selesai.
8 kertas siasatan dibuka termasuk tatatertib
Selain itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) Bukit Aman telah membuka sebanyak enam kertas siasatan tatatertib berkaitan dengan beberapa video tular di Taman Sri Gombak serta video bertengkar dengan orang awam.
Dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai polis wanita itu diharap orang ramai tahu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menangani perilaku sebegini.
Kita biarkan pihak polis mengguna pakai undang-undang dan saluran dalaman seperti JIPS untuk menguruskan perilakunya yang menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat dan menimbulkan persepsi tidak baik terhadap PDRM.
Terdahulu, nama pegawai polis ini hangat diperkatakan selepas tular video memaparkan dia memperlekehkan dua anggota berpangkat Lans Koperal di tempat awam.
Dia juga dirakam bertengkar dengan orang awam di kawasan parkir pusat beli belah. Tak cukup dengan itu, timbul pula video lain menunjukkan aksinya memberi amaran kepada Lans Koperal supaya tak memberi arahan memandangkan dia berjawatan lebih tinggi.