Dalam perkembangan terkini, polis berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai ibu bapa kepada empat beradik itu.
Tangkapan dua individu itu untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 33(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dibawa dan ditinggalkan di pondok pengawal oleh seorang lelaki.
Satu tangkapan dibuat ke atas lelaki terbabit semalam, selain merampas motosikal yang digunakan serta pakaian yang dipakainya semasa hari kejadian.
Tangkapan juga dibuat hari ini terhadap seorang perempuan di mana telefon bimbitnya juga dirampas untuk tujuan siasatan.
Jelasnya lagi, suspek lelaki menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna biru dan kini polis sedang mengenalpasti motif empat beradik itu ditinggalkan.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak berusia 11, 9 tahun, 3 tahun dan bayi 10 bulan ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah membuat laporan polis memberitahu kehadiran empat beradik itu disedari pak guard yang bertugas.