Kejadian di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) berhadapan Balai Polis Johol telah rosak akibat dari perbuatan empat orang lelaki yang cuba melarikan mesin tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani menerusi laporan Harian Metro, kejadian itu disedari oleh anggota yang bertugas selepas mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di mesin ATM itu tidak berfungsi.
Dentuman kuat dari arah tempat kejadian
Menurut Amran, anggota yang bertugas telah pergi ke pondok tersebut untuk memeriksa keaadan di sana sebelum terdengar dentuman kuat dari arah pondok terbabit.
Hasil pemeriksaan daripada CCTV mendapati empat suspek cuba menarik keluar mesin ATM dengan menggunakan kabel dawai dan rantai besi.
Namun cubaan mencuri itu gagal apabila kabel yang disambung menggunakan sebuah van Nissan Vanette dan Proton Iswara Aeroback putus.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pondok tersebut telah mengalami kerosakan yang dianggarkan RM8,000 akibat dari kejadian tersebut dan suspek didapati dapat melarikan diri, tapi tidak sempat menarik keluar mesin ATM di pondok tersebut.
Macam-macam cara la diorang ni nak curi duit. Semoga suspek ditangkap dan diberi hukuman yang sepatutnya kerana melakukan kerosakan dan menyusahkan orang setempat yang mahu mengeluarkan duit.