Baru-baru ini, seorang wanita yang dilahirkan tanpa tangan diberikan penghormatan daripada graduan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-98 kerana berjaya menamatkan pengajiannya.
Menerusi satu video, seorang pengguna TikTok @ahmadzoolhelmialias berkongsi detik-detik graduan Norfarrah Syahirah Shaari menerima skrol di atas pentas sambil ditemani suaminya Zulfadli Syahrul.
Malah, perkongsian video berkenaan memaparkan para graduan kemudian berdiri sebelum memberikan tepukan dan sorakan gemuruh buat wanita berusia 35 tahun itu.
Dalam satu perkongsian Farrah di TikTok, dia meluahkan rasa gembira kerana memperoleh diploma dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi walaupun memegang status sebagai golongan orang kurang upaya (OKU).
Bukan itu sahaja, Farrah turut berkata dia menghadapi pelbagai cabaran seperti terpaksa memandu kereta sendiri dari rumahnya di Bagan Datuk ke UiTM Seri Iskandar.
Kampus saya berada di Seri Iskandar dan cabaran untuk ke kampus adalah saya terpaksa memandu menggunakan kaki.
Tapi cabaran itu membuatkan saya lagi bersemangat untuk menuntut ilmu.
Bagi saya kekurangan ini bukanlah satu penghalang untuk saya belajar kerana saya mahukan sesuatu yang lebih tinggi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen bangga dan mengambil kesempatan bagi mengucapkan tahniah atas pencapaiannya.
Terdahulu, Farrah pernah tular di media sosial gara-gara kemahirannya memandu kereta menggunakan kaki dalam menjalani kehidupan seharian.
Sebelum ini kami ada kongsikan kisah mengenai, seorang pemuda OKU tekun mencari rezeki sendiri meskipun hanya menggunakan kerusi roda sepenuhnya untuk bergerak.