Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila seorang pelakon terkenal, Nam Ron yang memuat naik sebuah hantaran di laman Instagramnya mengenai syarat tidak masuk akal dibuat oleh sebuah syarikat produksi.
Menurut tangkap layar yang dimuat naiknya itu, syarikat tersebut telah mengemukakan syarat dalam memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut serta ciri-ciri yang lain.
Fokus untuk mereka yang masih muda, popular dan mempunyai jumlah pengikut yang tinggi dalam Instagram.
Perkara itu jelas menimbulkan perasaan tidak puas hati ramai orang terutamanya dalam kalangan selebriti yang jelas kecewa dengan syarat pemilihan tersebut.
Uyaina kongsi pengalaman, pernah disuruh berlakon minum di kelab malam
Berhubung dengan kejadian itu, pelakon meningkat naik, Uyaina Arshad turut berkongsikan pengalaman selepas tular isu mengenai syarat tidak masuk akal dalam pemilihan pelakon tersebut.
Menerusi ciapannya di laman Twitter, Uyaina mendedahkan dirinya pernah diminta untuk berlakon seakan-akan minum minuman keras di kelab malam bagi mudah dikenali dalam masa yang singkat.
Hal itu berlaku semasa awal karier pelakon berusia 29 tahun selepas terdapat pihak yang memandang dirinya kurang popular ketika itu.
Saya juga pernah kena teruk sebelum ini. ‘Uyaina, awak tak popular, perlu ada gosip liar. Apa kata awak pergi ke kelab malam dan pegang saja gelas kemudian berlakon sedang ‘minum’.
Kemudian kita rekod atau ambil gambar, pasti nama awak terkenal selepas itu.
Yang I pernah kena pun teruk.
“Uyaina, you tak famous. Kena ada gosip2 liar. Why not you pergi night club, pegang je gelas konon2 tengah ‘minum.’ Pastu kita rekod/ambik gambar. Confirm nama you naik lepas tu,”
Bercerita lanjut, Uyaina atau nama sebenarnya Shaidatul Naseha Uyaina Arshad mengakui perkara berkenaan masih segar dalam ingatannya walaupun telah lama berlalu.
Namun, dia merasakan perkara itu seperti merendahkan maruahnya sebelum bertindak untuk tidak melakukan perkara itu bagi menjaga nama baik diri serta keluarga.
Selepas meluahkan pengalamannya, pelakon itu bagaimanapun tidak mendedahkan individu yang menyuruhnya untuk melakukan perkara terkutuk itu.