Oh! Negara
Cukuplah Salahkan Kerajaan Lama – Tun Daim

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin akhirnya mengeluarkan kenyataan agar kerajaan menumpukan sepenuhnya kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa PRU-14 tempoh hari dan melupakan apa yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan yang lalu.
“Sekarang sudah enam bulan. Kerajaan perlu memberi tumpuan dalam pelaksanaan. Rakyat tahu apa yang terjadi, sebab itu mereka undi untuk menyingkirkan kerajaan sebelum ini.
“Justeru, adalah amat penting untuk kerajaan sekarang tidak mengulangi (kesilapan) pemimpin lama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya rakyat memberi sedikit masa untuk kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membentuk semula ekonomi negara.
“Ramai yang tidak sabar, mereka undi untuk perubahan dan ingin melihat hasilnya serta-merta. Memang pelbagai janji dibuat, tetapi apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kerajaan mendapati perbendaharaan sudah tiada.
“Bagaimana kami ingin tunaikan janji? Jadi ini akan memakan masa,” katanya.
