Oh! Tidak
Nahas 15 Motosikal: Nenek Sebak, Allah Jemput Cucu Sebelum Dirinya
Nenek kepada arwah Afkar Fitri Afendi meluahkan rasa pilu atas kejadian yang menimpa cucunya
Awal pagi tadi, telah berlaku satu kemalangan melibatkan 15 kenderaan, termasuk motosikal, kereta dan lori di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Seremban, Negeri Sembilan.
Dilaporkan, insiden tragis tersebut telah meragut tiga nyawa. Salah seorang mangsa yang terkorban ialah Afkar Fitri Afendi, 19 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemergian beliau turut diratapi oleh ahli keluarga, termasuk neneknya yang meluahkan rasa sedih dan pilu atas kehilangan cucu tersayang itu.
Nenek kongsi cerita, Afkar seorang cucu yang baik

Menerusi laporan daripada Sinar Harian, Rohani Husien, 66 tahun nenek kepada arwah Afkar menyifatkan cucunya seorang yang baik, sopan dan sentiasa patuh kepada arahan keluarga.
Dia memang budak yang baik. Apa saja yang saya, suami dan ibu bapanya suruh buat, dia tak pernah membantah. Malah, dia sangat prihatin. Kalau keluar bersama, dia tak lupa pimpin tangan saya.
Menurutnya, dua hari sebelum kejadian, beliau ada melakukan panggilan video bersama arwah dan sempat berpesan agar sentiasa menunggang motosikal dengan berhati-hati.
Rohani menerima berita kemalangan yang menimpa cucunya sekitar jam 6.30 pagi khamis, meskipun hatinya luluh, beliau reda dengan ketentuan Ilahi.
Semua orang akan pergi, kita tak tahu bila. Tapi ALLAH dah jemput dia dulu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang selepas makan malam bersama kumpulan konvoi motosikal dan berlaku pelanggaran.
Mohamad Hatta berkata lagi, pihaknya masih menjalankan siasatan, termasuk merakam keterangan daripada pemandu lori dan kereta.
Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 12 hours ago