Oh! Artis
Penyanyi Rock Lelaki Didakwa Herdik Dan Halau Shila Amzah
Shila Amzah buat laporan polis selepas diherdik kuat penyanyi lelaki di depan orang ramai.
Insiden mengejutkan melibatkan penyanyi terkenal Shila Amzah berlaku di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila dia didakwa diherdik dengan kuat oleh seorang penyanyi rock lelaki di hadapan orang ramai.
Kejadian itu berlaku selepas Shila selesai sesi latihan konsert pada pagi Khamis lalu.
Menurut sumber, penyanyi lelaki itu dilaporkan menghampiri Shila sebelum menjerit dengan nada keras seperti memberi satu amaran yang cukup mengganggu emosi.
“Aku dah lama cari kau. Tahulah apa nasib kau nanti.”- Kata penyanyi rock terbabit kepada Shila.
Difahamkan, ketika kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi, terdapat ramai individu lain yang turut menyaksikan insiden tersebut. Situasi tegang itu mencetuskan kebimbangan buat Shila, yang kemudian membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang.
Tidak mengambil mudah dengan ugutan tersebut, Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 35, tampil membuat laporan polis pada hari yang sama. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 5.31 petang.
Pihak polis telah mengesahkan menerima laporan tersebut dan kini kes sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang melibatkan ancaman jenayah.
Walaupun masih belum diketahui punca sebenar berlakunya pertelingkahan tersebut, namun tindakan pantas Shila menunjukkan keseriusan situasi yang dialaminya.
Pssttt! Kadang-kadang kita tak tahu apa yang sedang berlaku di belakang tabir dunia hiburan, tapi bila perkara melibatkan keselamatan diri dan ugutan, jangan sekali-kali ambil ringan. Apa yang Shila buat adalah tindakan yang betul, bila rasa terancam, buat laporan dan lindungi diri sendiri.
Kredit: mStar
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.

Amyrul Bakhtiar Kongsi Kisah Hidup Sebelum Viral Dan Lagu Raja Gelek Perodua | Oh! Podcast Ep26
OH! MEDIA 24/04/2026 7:45 PM