Pada episod yang disiarkan malam tadi, Salina lakonan Ummie Naziera sudah pun selamat melahirkan anaknya yang diberi nama Fayyadh sewaktu dia menjalani hukuman dalam penjara.
Boleh jaga anak dalam penjara tapi limit hanya 3 tahun
Secara amnya, dalam dunia yang nyata, bayi yang perlu dijaga dalam sel penjara bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana banduan wanita dibenarkan untuk menjaga dan membesarkan anak mereka ketika menjalani tempoh tahanan.
Menerusi video yang dimuat naik Sinar Harian, Penolong Penguasa Penjara iaitu Naterah Abdullah menerangkan bahawa terdapat SOP membenarkan kanak-kanak yang lahir dalam penjara untuk berada di bawah jagaan ibu masing-masing sehinggalah umur mereka mencecah 3 tahun.
Selain daripada banduan yang biasa menjalani hukuman, ada juga banduan yang mengandung, yang melahirkan anak di dalam penjara.
Di sini, Penjara Wanita Kajang memberikan rawatan yang khusus kepada ibu mengandung dan penjagaan anak.
Dari segi penjagaan anak, banduan dibenarkan menjaga anak sehingga berusia tiga tahun.
Naterah juga mendedahkan bahawa anak tersebut kemudiannya perlu diserahkan kepada ahli keluarga atau Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya tiada waris terdekat.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa sedih khususnya buat si ibu yang perlu berpisah dengan darah dagingnya sendiri selepas tiga tahun menjaga anaknya itu.