Kejadian di sebuah bank di Gong Badak, Kuala Nerus Terengganu, seorang pelanggan wanita yang tiba-tiba rebah telah meninggal dunia sewaktu berurusan di dalam bank.
Menerusi laporan Kosmo, kejadian yang berlaku pada jam 11 pagi itu mengakibatkan seorang wanita berusia 66 tahun maut selepas terkena serangan jantung.
Mangsa ditemani anak perempuan sebelum kejadian
Mangsa difahamkan telah pergi ke bank tersebut bersama salah seorang anak perempuannya yang berumur 30 tahun sebelum kejadian berlaku.
Wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Nerus yang terus ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din telah mengesahkan kejadian ini dan menyatakan mangsa kini telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Mangsa dikatakan memiliki rekod sakit jantung dan kes kematian ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sungguh, kita tidak tahu bila dan di mana kita bakal dijemput Allah. Semoga keluarga mangsa tabah menerima berita kematian ini. Al-Fatihah.