Semalam Oh! Media melaporkan seorang pelajar telah dibuli oleh 10 orang pelajar senior dan ditekap menggunakan seterika panas. Mangsa kini telah disahkan bukan saja melecur pada belakang badan, tetapi mengalami kecederaan tulang rusuk.
Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan, dada, lengan, dagu dan pipi.
Reman tak disambung
Seterika panas yang ditekap pada tubuh mangsa telah mengakibatkan kesan melecur di bahagian belakang badan sebelah kanan.
Mangsa yang menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang.
Polis telah melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Namun, reman ke atas semua suspek tidak disambung kerana siasatan telah selesai dan semua suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis.