Semalam, telah tular di media sosial mengenai beberapa personaliti media sosial yang dikatakan telah merentas negeri semata-mata untuk menghadiri perkahwinan rakan mereka di Kota Bharu, Kelantan.
Hari ini di media, pihak polis dilaporkan sedang mengesan beberapa individu yang dikenali ramai sebagai ‘Instafamous’ di laman sosial Instagram itu kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuklah merentas negeri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya ada menerima satu laporan polis mengenai kesalahan itu pada petang semalam.
Hasil semakan terhadap berita yang tular mengenai beberapa individu yang disyaki melanggar SOP PKP, terdapat beberapa keping gambar yang dimuat naik menunjukkan mereka bergambar dengan pengantin tanpa penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka.
Malah, ramai juga yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan mengenai pergerakan rentas negeri rakan pengantin dari luar ke Kelantan.
Justeru, polis Kelantan sedang mengesan individu berkenaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat). – Katanya.
Jadi ‘Influencers’ tak salah, yang salahnya apabila mereka yang sepatutnya tunjukkan contoh yang baik pada pengikut di media sosial, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.