Dengan adanya alat peranti android box, orang ramai dengan mudah dapat mengakses program TV, perkhidmatan streaming services dan aplikasi pintar seperti playstore, internet dan lain-lain di kaca televisyen.
Namun, harus diingatkan penyalahgunaan alat peranti bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar secara percuma adalah salah di sisi undang-undang.
Seperti yang dilaporkan Harian Metro ini, Mahkamah Siber Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah memiliki dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Jika gagal membayar denda, Orang Kena Saman (OKS) iaitu Khor Ooi Heong berdepan hukuman penjara enam bulan.
Khor yang tidak diwakili peguam merayu pengurangan hukuman kerana syarikat miliknya iaitu Wellbao Trading yang menjalankan perniagaan itu telah ditutup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia juga mempunyai seorang anak yang menghidap kanser dan perlu berulang alik ke hospital. Manakala isterinya pula tidak bekerja kerana perlu menjaga dua anak.
Saya sudah mengaku salah dan sekarang saya tak menjual lagi. Saya sudah berikan kerjasama kepada pihak siasatan semasa menyelesaikan kes ini. Saya merayu denda yang rendah,
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu tiga unit Android TVBox jenama Tian Mau yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 pada 9 Julai 2020.