Malam tadi telah berlangsungnya minggu keempat bagi rancangan realiti, Gegar Vaganza musim ke-8 dan dilihat semua peserta berjaya memberikan persembahan yang terbaik.
Dengan bertemakan ‘Berdiri Bulu Romaku’, ia seakan-akan menuntut para peserta bagi membawa lagu masing-masing untuk menaikkan bulu roma penonton dengan berkonsepkan seram.
Bagaimanapun, penyanyi tanah air, Dato’ Fazley Yaakob terpaksa akur dengan keputusan juri selepas dirinya menjadi peserta kedua tersingkir dalam edisi kali ini.
Walaupun berjaya menghiburkan penonton dengan gimik ala-ala Money Heist, bekas peserta Masterchef Selebriti Malaysia itu terpaksa menamatkan perjuangan setelah menerima markah terendah iaitu 50.00 peratus.
Giliran Adibah Noor menduduki tempat teratas, Nikki Palikat turut curi perhatian ramai
Sementara itu, penyanyi tanah air, Adibah Noor telah mencuri perhatian ramai selepas menduduki tempat pertama untuk minggu ke-4 GV8.
Hal itu selepas dia berjaya membawa lagu berjudul Jika dengan cemerlang disamping lakonannya bersama pelakon, Faizal Hussein sehingga meraih markah setinggi 78.10 peratus.
Selain itu, nyanyian Adibah juga mendapat reaksi positif daripada juri, Bonda Hetty yang menganggap persembahan penyanyi itu lain dari yang lain serta kreatif dari segi cara penyampaiannya.
Tidak terlepas juga persembahan dari juara minggu ke-3, Nikki Palikat turut meraih tumpuan ramai selepas berjaya membawa lagu berjudul Zombie dengan keunikan gubahan lagu tersendiri.
Walaupun menduduki tempat kedua, penyanyi itu tetap berpuas hati selepas menjadi salah seorang peserta yang mendapat markah tertinggi iaitu sebanyak 76.60 peratus.
Dalam pada itu, penyanyi dari Indonesia, Upiak Isil turut mendapat pelbagai reaksi selepas dilihat kurang berjaya dalam membawa lagu berjudul Cinta Sejati dengan cemerlang.
Hal itu selepas dia dikritik menyanyikan lagu tersebut dengan vokal mendatar serta tidak tinggi pada chorus yang sepatutnya dan hanya meraih markah sebanyak 50.50 peratus.
Selain itu, reaksi Bonda Hetty juga turut mendapat perhatian selepas bersungguh-sungguh memberikan arahan agar Upiak memberikan nada yang tinggi serta memperbaiki mutu persembahannya.
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan reaksi Bonda Hetty selain menyifatkan persembahan Upiak tidak mencapai note yang tepat.
Sementara itu, Anugerah DigiNext level menjadi milik penyanyi Shidee serta gelaran Bintang Cuckoo Healty Home pula disandang oleh kumpulan Sa.Ya selepas menerima undian tertinggi di laman Facebook Astro Gempak.
Tidak terlepas juga bagi Anugerah Bintang Paling Power Meow dikurniakan kepada penyanyi Adibah Noor selepas meraih markah tertinggi pada minggu ini.