Kes yang melibatkan pemandu mabuk merupakan isu besar yang terjadi di atas jalan raya. Hal ini kerana kemalangan yang berkaitan dengan pemandu mabuk ini seringkali meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa.
Tular satu video di TikTok yang menunjukkan sebuah kenderaan jenis Volkswagen Vento yang dipercayai tidak bergerak hampir tiga jam di hadapan lampu isyarat.
Menurut Muhammad Rozi yang memuat naik video berkenaan, orang ramai menyangka pemandu tersebut sudah tidak bernyawa lalu menghubungi pihak bomba bagi membantu mengeluarkannya.
Namun begitu, secara tiba-tiba pemandu berkenaan mula sedar tatkala pihak bomba tiba di tempat kejadian.
Menerusi satu lagi video yang dimuat naik Muhammad Rozi, pemandu itu mula mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai bomba di saat mereka cuba menyedarkannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berang dengan tindakan pemandu tersebut yang menyusahkan pengguna jalan raya yang lain dan ada yang mendakwa pemandu tersebut memandu dalam keadaan mabuk.