Di Facebook, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerangkan tiga langkah utama yang perlu diambil sekiranya anda terlihat kemalangan. Langkah-langkah tersebut adalah selamat, sedar dan 999.
Ujar beliau, langkah pertama adalah memastikan keadaan sekeliling berada dalam keadaan selamat. Alihkan penyebab bahaya atau elakkan berada di kawasan berkenaan.
Langkah kedua adalah memeriksa keadaan mangsa sama ada sedar atau pun tidak. Manakala langkah terakhir adalah dengan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan.
Sementara itu, perkara penting yang perlu dielakkan adalah perasaan sangsi atau buruk sangka terhadap mangsa. Perkara tersebut secara tidak langsung boleh mempengaruhi pertimbangan anda sebagai penyelamat atau saksi kejadian.
Tambah doktor ini lagi, anda juga perlu mengelak daripada merakam keadaan mangsa kemalangan kerana ianya boleh mengganggu privasi dan kehormatan mangsa.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang barangan di tempat kejadian. Tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menyusahkan mangsa dan diri sendiri.
Untuk informasi kesihatan berguna yang lain anda bolehlah merujuk laman ke Facebook Dr Kamarul Ariffin.