Setiap kali tiba musim perayaan, pagi raya akan digunakan semua insan untuk bermaaf-maafan sesama ahli keluarga atas segala kesilapan yang lalu. Pagi raya juga merupakan antara momen yang ditunggu-tunggu lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak untuk mendapat sampul yang berisi duit raya.
Tular satu video yang dikongsi pengguna @ezhrjmn di TikTok yang memberi kejutan kepada ibu dan bapanya ketika sesi bersalam raya sesama ahli keluarga.
Pada awal video, dapat dilihat ibu kepada pemuda berkenaan mendoakan agar dia segera mendapat pekerjaan selepas difahamkan telah hampir lapan bulan ‘menanam anggur’.
Pemuda berkenaan kemudiannya menyerahkan sampul raya yang berisi surat tawaran kerja kepada ibu bapanya itu. Alangkah terkejutnya mereka dengan kejutan yang dibuat pemuda itu dan terus memeluk anak lelaki dengan penuh bangga dan gembira.
Netizen tumpang gembira
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tumpang gembira dengan kejayaan lelaki itu setelah berjaya memperoleh pekerjaan dan turut memahami situasi sukarnya untuk mendapat pekerjaan pada zaman sekarang.
Kami di Oh! Media turut berbangga dan tumpang gembira dengan kejayaan pemuda itu dan mendoakan agar mereka yang masih belum mempunyai pekerjaan dimudahkan segala urusan.