Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua anggota kabinet supaya membatalkan cuti mereka serta pulang sekiranya berada di luar negara.
Menerusi perkongsiannya di laman Twitter, perkara itu dibuat bagi bersama-sama membantu rakyat yang terjejas akibat banjir yang berlaku.
Saya arahkan mana-mana menteri yang bercadang untuk bercuti ke luar negara utk BATALKAN dan menteri yang berada di luar negara ketika ini untuk PULANG SEGERA untuk bersama-sama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan. pic.twitter.com/2xAfMkarkW
Saya sudah arahkan semua menteri yang rancang percutian masing-masing untuk batalkan percutian mereka, mereka yang berada di luar negara yang boleh balik segera supaya kita boleh bersama rakyat yang sedang kesusahan ini.
Jelasnya lagi, pembatalan cuti berkenaan akan terus berkuat kuasa sehinggalah masalah bencana banjir di negara ini pulih sepenuhnya.
Menteri bercuti sudah pulang, Ismail Sabri tangguh tunai umrah
Berhubung dengan perkara itu, Ismail Sabri juga telah mendedahkan bahawa beberapa menteri yang bercuti di luar negara sudah pun pulang selepas diarahkan pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, mereka yang sudah pulang sedang menjalani kuarantin dan akan bersama-sama ‘turun padang’ selepas tempoh tersebut berakhir.
Ramai menteri balik dan mereka ke luar negara awal sebelum banjir. Bila suruh balik, ada dua tiga dah balik tetapi mereka kena kuarantin dulu.
Kita tak benar keluar lagi sebab bimbang sebar penyakit dan kena patuh SOP (prosedur operasi standard), Isnin atau Selasa akan bersama dengan khalayak.
Dalam pada itu, beliau juga turut menyatakan bahawa dirinya juga adalah antara anggota menteri yang mahu bercuti dan telah pun membatalkan keputusan itu.
Hal itu selepas beliau mempunyai rancangan untuk menunaikan umrah pada 1 Januari, namun terpaksa membatalkannya untuk terus fokus dalam menangani masalah banjir di negara ini.