Penyanyi Elyana menerusi perkongsian di Instagram menceritakan perjalanannya di hospital mendapatkan rawatan radioterapi untuk mengubati penyakit kanser limfoma yang dihadapinya.
Menerusi hantaran tersebut, Elyana memohon orang ramai mendoakan semoga segala urusan berjalan dengan lancar. Selain itu, Elyana memaklumkan dia menerima pemindahan dua beg darah yang mengambil masa enam jam.
Memetik laporan Kosmo!, ibu kepada dua anak ini mendedahkan dia terpaksa menggagahkan diri menjalani rawatan radioterapi kerana berasa sangat lemah sejak beberapa hari lalu.
Saya terpaksa kuatkan diri untuk melakukan rawatan radioterapi kerana berasa sangat lemah dan sangat penat sejak beberapa hari lalu.
Bayangkan untuk membalikkan badan ketika tidur pun saya tidak larat sebab penat, apatah lagi untuk berdiri lama.
Saya tidak mahu melakukan kimoterapi kerana rawatan itu akan membuatkan saya menjadi bertambah sakit dan lemah.
Doktor pun tahu saya tidak mahu melakukannya (kimoterapi)
Menurutnya, bermula petang ini dia akan menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi.
Ujar penyanyi Kalis Rindu ini lagi, dia menguatkan diri menjalani rawatan radioterapi kerana memikirkan anak-anak yang masih kecil. Elyana mahu meluangkan masa dengan anak bukannya terbaring sahaja. Dia berdoa agar rawatan ini berjalan dengan lancar dan cepat sembuh.