Umum

Jodoh Dipertemukan Dari Bantuan Bomoh?

Published on

SOALAN : Assalamualaikum ustaz. Saya ini andartu (anak dara tua) sudah berumur mencecah lebih 40 tahun.Namun belum juga mendapat jodoh sehingga sekarang. Ibu saya menjadi risau dan ambil keputusan untuk jumpa bomoh, dengan tujuan membuang sial yang ada pada saya. Apa betul tindakan ibu saya itu?

JAWAPAN : Satu perkara yang perlu kita ketahui, bahawa apabila kita merancang sesungguhnya ALLAH sebaik-baik Perancang.Segala apa yang melibatkan jodoh, rezeki, kematian dan lain-lain telah ditentukan oleh ALLAH SWT. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Abdullah Bin Mas’ud yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian ALLAH mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat : tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita..” Riwayat al-Bukhari ( 3208)

Perbuatan pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi SAW. Sabda Baginda :

“Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.” Riwayat Muslim (5957)

Imam al-Nawawi menyatakan maksud tidak diterima solatnya adalah solat yang dilakukan tidak mendapatkan pahala. Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (14/227)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menyebut : “Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.” Riwayat Ahmad (9667)

Jelas di dalam hadis tersebut ancaman yang diberikan oleh Nabi SAW bagi sesiapa yang berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang semisal dengannya.

Menerusi hadis-hadis ini, maka kami nasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya. Mereka tidak terlepas dari menggunakan sihir. Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar.

Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW : “Tidak ada penyakit yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

Bergantunglah hanya kepada ALLAH SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada ALLAH SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatah lagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya. Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada ALLAH. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ghafir :60.

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Comments

Exit mobile version