Umum

Hukum Mendirikan Tahiyatul Masjid Setelah Duduk Sebentar

Published on

SOALAN:
Satu hari saya masuk ke dalam masjid dan terus duduk di dalam saf. Kemudian saya tersedar yang saya belum mendirikan solat sunat tahiyatul masjid. Bolehkah saya bangun semula dan terus melakukan solat tahiyatul masjid?

JAWAPAN:
Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh seseorang yang memasuki masjid. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
“Apabila salah seorang dari kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk sehingga dia selesai solat dua rakaat.” [Riwayat Al-Bukhari (1167)]

Para ulama’ mengeluarkan beberapa faedah yang diperoleh dari hadis di atas yang kami kongsikan dalam beberapa poin berikut:

• Hadis ini menjelaskan bahawa disyariatkan solat rakaat bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid.

• Ia turut menjelaskan bahawa solat tahiyatul masjid jumlahnya adalah dua rakaat. Justeru, ia tidak diterima sekiranya dilakukan hanya dengan satu rakaat sahaja.

• Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa arahan mendirikan solat sunat tahiyatul masjid ini hanyalah melibatkan orang yang ingin duduk di dalam masjid sahaja. Manakala jika seseorang itu masuk kemudian keluar semula tanpa hajat untuk duduk di dalam masjid, maka dia tidak termasuk dalam tuntutan ini.

Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menjelaskan tentang kepentingan mendirikan solat tahiyatul masjid ini sekalipun seseorang itu telah duduk sebentar seperti yang diriwayatkan oleh Abu Zar Al-Ghifari R.A beliau berkata:

“Aku pada suatu hari masuk ke dalam masjid, lalu aku melihat bahawa Rasulullah SAW sedang duduk secara bersendirian. Kemudian baginda berkata kepadaku:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّ لِلْمَسْجِدِ تَحِيَّةً، وَإِنَّ تَحِيَّتَهُ رَكْعَتَانِ، فَقُمْ فَارْكَعْهُمَا
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya bagi masjid itu ada tahiyatnya (penghormatan). Sesungguhnya tahiyat (bagi masjid) adalah dua rakaat. Maka bangunlah kamu dan dirikan dua rakaat tersebut.”

Kemudian Abu Zar berkata: “Lalu aku pun bangun dan mendirikan solat dua rakaat, kemudian aku kembali dan duduk semula bersama Rasulullah SAW.” [Riwayat Ibn Hibban (361)]

Dari sudut hukum solat tahiyyatul masjid ini, Imam Al-Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. [Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (4/52)]

Meskipun begitu, perlu dijelaskan bahawa tahiyyatul masjid ini terhasil dengan sendirinya apabila (seseorang itu) melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain seperti solat rawatib qabliyah dan seumpamanya. Tujuannya adalah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu kerana menghormati masjid. [Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/215)]

Manakala berkaitan isu mendirikan solat tahiyatul masjid sesudah duduk sebentar, maka hal ini ada petunjuknya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawa:

”Sulaik Al-Ghatafani menghadiri Solat Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk di atas mimbar. Sulaik terus duduk sebelum mendirikan solat (dua rakaat). Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat?” Maka Sulaik menjawab: “Tidak.” Kemudian baginda SAW bersabda:

قُمْ فَارْكَعْهُمَا
“Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).” [Riwayat Muslim (875)]

Imam Al-Nawawi ketika mengulas hadis ini beliau berkata:

فَاَلَّذِي يَقْتَضِيهِ هَذَا الْحَدِيثُ أَنَّهُ إذَا تَرَكَ التَّحِيَّةَ جَهْلًا بِهَا أَوْ سَهْوًا يُشْرَعُ لَهُ فِعْلُهَا مَا لَمْ يَطُلْ الْفَصْلُ وَهَذَا هُوَ الْمُخْتَارُ
“Antara maksud yang terkandung di dalam hadis ini adalah apabila seseorang itu meninggalkan tahiyat (masjid) secara jahil atau secara lalai maka dituntut kepadanya untuk melakukannya (solat tahiyatul masjid) selama mana tidak panjang tempoh (di antara duduk dengan solat) dan ini adalah pendapat yang terpilih.” [Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/53)]

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum mendirikan solat tahiyatul masjid sesudah seseorang itu duduk adalah dibolehkan. Namun pendapat yang terpilih adalah ia dibolehkan sekiranya tempoh masa duduk itu adalah sebentar sahaja dan bukanlah berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Exit mobile version