Menurut laporan Utusan Malaysia, peniaga yang berusia dalam lingkungan 20-an itu mengaku telah berkenalan dengan ‘Tengku’ sejak Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ‘Tengku’ yang mendakwa kerabat diraja itu meminta mangsa membuktikan rasa cinta dan kesetiaan dengan menyerahkan barangan kemas milik ibu mangsa.
Terpedaya dengan janji suspek yang akan memulangkan kembali barangan kemas tersebut, mangsa telah menghantarnya sebanyak dua kali iaitu pada 31 Mei dan 2 Jun lalu.
Mangsa membuat penghantaran menggunakan teksi dan Grabcar kepada pembantu peribadi Tengku di Kota Bharu.
Dalam tempoh perkenalan itu mangsa turut membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dalam dua akaun bank milik individu ketiga atas alasan sama iaitu bukti kesetiaan dan kasih sayang, selain dijanjikan sebuah kenderaan trak pikap oleh suspek.
Mangsa kemudian telah membuat laporan polis kerana berasa tertipu apabila Tengku tidak datang berjumpa seperti dijanjikan dan tidak memulangkan barang kemas ibunya yang dianggarkan bernilai RM370,000.
Dakwa mangsa lagi, ‘Tengku’ mengugut akan menyebarkan video bogel mangsa jika mangsa tidak menyerahkan wang seperti yang diminta.
Menurut Shafien, mangsa telah tampil membuat laporan polis pada 14 September lalu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan serta denda.