Di zaman yang serba moden ini, dapat kita lihat rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ semakin banyak dijual dan dipromosikan di media sosial bagai cendawan tumbuh lepas hujan.
Apa yang lebih membimbangkan, rokok elektronik ini bukan sahaja digunapakai oleh golongan dewasa bahkan golongan muda tanpa mengira jantina.
Dua budak perempuan pegang ‘vape’ dalam MRT
Tular satu perkongsian di buat pengguna Facebook bernama Yazeed Hair Johari yang meluahkan rasa terkilannya sewaktu menaiki MRT ketika dalam perjalanan untuk menonton perlawanan badminton terbuka Malaysia Masters.
Menerusi perkongsiannya itu, terdapat dua orang kanak-kanak perempuan yang menggalas beg sekolah turut sama menaiki pengangkutan awam tersebut.
Apa yang membuatkannya terkilan ialah dua kanak-kanak perempuan itu memegang rokok elektronik tanpa segan silu di hadapan khalayak ramai.
Ada dua orang budak perempuan, Kalau sekali imbas nampak lebih kurang macam tingkatan 2-3. Pelajar tingkatan. Dengan menggalas beg sekolah.
Tapi apa yang membuatkan aku terfikir bila aku nampak , kedua dua budak perempuan ni pegang ‘Disposable Vape’. Vape tu mmg famous lah, ramai yang kenal dengan rupa bentuk dia.
Yazeed turut menambah ini bukanlah kali pertama dia melihat budaya menghisap rokok elektronik dalam kalangan remaja, bahkan ramai golongan remaja yang secara terang-terangan melakukan perbuatan tersebut di atas motor ketika pulang dari sekolah.
Ini bukan kali pertama, banyak kali dah jumpa budak balik sekolah siap lumba motor, parking tepi ramai-ramai hisap vape.
Melihat perkara itu seperti sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan remaja, Yazeed turut mempersoalkan siapakah individu yang bertanggungjawab terhadap isu ini.
Respon netizen
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa risau mereka terhadap perkara ini dan berharap agar tindakan sepatutnya diambil bagi mencegah golongan muda terlibat dengan isu ini.