Trending

Kecewa Dengan Syarikat Penghantaran, Arja Lee Buat Laporan Polis Tuntut Ganti Rugi

Published on

Baru-baru ini seorang pelakon Arja Lee, 37, telah memuat naik satu video di laman Instagramnya mengatakan dia berasa kecewa dengan sebuah syarikat penghantaran.

Susulan selepas itu, dia membuat laporan polis terhadap kecuaian serta menuntut penyelesaian daripada syarikat penghantaran berkenaan yang menyebabkan dia kerugian RM1,050.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli berkata, dia menerima 24 jenis biskut raya dari Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan syarikat itu hancur dan rosak.

Arja yang kecewa dengan insiden itu kemudian menghubungi syarikat tersebut tetapi masih belum mendapat jawapan mengenai kejadian yang berlaku.

“Kakak saya sudah menghubungi kakitangan syarikat itu memaklumkan perkara ini. Mereka meminta semua dokumen terbabit dan kami sudah memberi semuanya seperti bukti biskut hancur, slip pembayaran dan video kerosakan.

“Saya membuat laporan polis sebagai rujukan untuk pihak syarikat penghantaran itu bagi meminta ganti rugi jumlah biskut yang rosak. Ia juga untuk tindakan pihak polis sekiranya syarikat terbabit gagal selesaikan kerugian syarikat kami,” katanya.

Tambah Arja, mereka sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada syarikat penghantaran itu dan meletakkan pelekat barangan mudah pecah di bungkusan berkenaan.

“Kami sudah perincikan mengenai barangan itu kepada mereka di Kuala Lumpur. Kami turut mengingatkan mereka supaya memastikan barangan itu sampai dalam keadaan selamat ke Kota Bharu.

“Namun, semua biskut yang sampai kepada saya rosak teruk dan hancur. Saya sangat sedih dan kecewa dengan insiden ini. Bukan saja biskut yang hancur, malah bekasnya juga pecah dan terkopek,” katanya.

Arja juga mempersoalkan bagaimana cara syarikat itu bekerja sedangkan pihaknya sudah memperincikan kondisi barangan itu.

Kredit : HarianMetro

Comments

Exit mobile version