Di TikTok, viral perkongsian video memaparkan seorang wanita cantik menjual nasi lemak dengan membuka gerai secara kecil-kecilan di Sentul, Kuala Lumpur.
Sehingga kini, video perkongsian wanita dikenali sebagai Mya ini mendapat lebih 1 juta tontonan. Siapa sangka, sejak dibuka Selasa lalu, gerai nasi lemak Mya diserbu orang ramai dan laku keras!
Nasi lemak Sentul viral
Memetik laporan Harian Metro, ada pelanggan sanggup datang dari Cameron Highlands dan Perak hanya untuk merasai nasi lemak viral ini.
Tak cukup dengan itu, ada juga pelanggan sanggup bayar kos penghantaran dari Sentul ke Putrajaya, Cyberjaya, Klang, Shah Alam dan kawasan Lembah Klang yang lain.
Laku keras
Ibu tunggal kepada dua anak ini sangat bersyukur perniagaannya diterima ramai apabila berjaya menjual sehingga 700 bungkus sehari berbanding hanya 200 bungkus pada hari pertama berniaga.
Jelas ibu tunggal kepada dua anak ini, pada awalnya dia ada menerima reaksi negatif segelintir masyarakat yang merasakan dia mempunyai bonus rupa paras yang cantik.
Saya akui memang ada suara negatif misalnya, muka cantik memanglah ada orang beli, kalau makcik mesti tak laku, malah ada juga yang cakap tak malu ke muka cantik jual tepi jalan?
Namun, dia rasa cantik adalah satu bonus. Apa yang penting dia berusaha untuk mencari rezeki halal buat keluarga. Setiap hari wanita ini bangun seawal 4 pagi memasak sambil dibantu adik beradik dan ibu bapanya.
Mya atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Hamirah mengaku ada yang bertanya soalan nakal sehingga ada yang ajak kahwin bila tahu status ibu tunggalnya. Tetapi dalam hal ini dia meletakkan batas dan hanya berniat mahu cari rezeki.
Kredit: TikTok | Harian Metro
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.