Selepas pengumuman pembubaran Parlimen diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada 10 Oktober yang lalu, dapat dilihat parti politik sudah mula giat memulakan perancangan untuk memastikan mereka mendapat kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menerusi video yang tular itu, Ahmad Zahid secara terang-terangan mendedahkan sekiranya parti Barisan Nasional tewas sekali lagi dalam pilihan raya kali ini, tampuk kepimpinan parti itu akan dihadapkan ke mahkamah bagi kes perbicaraan jenayah.
Pilihan raya kali ini merupakan ‘ibu’ segala pilihan raya, kalau kita kecundang nasib kita lebih buruk daripada PRU-14.
Bukan saya sahaja yang kena dakwa, Tok Mat (Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan), kamu dalam senarai menunggu. Tan Sri Vicky jangan ketawa, kamu juga termasuk. Apa lagi Datuk Seri Saravanan.
Bukan itu sahaja, nama-nama seperti Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong serta Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein juga disebut bakal didakwa sekiranya mereka tewas.
Disebabkan itu, Ahmad Zahid menegaskan tampuk kepimpinan Barisan Nasional perlu menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Bagi mengelakkan (perkara) ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam PRU ke-15.
Zahid Hamidi dakwa ucapannya diputar belit pihak pembangkang
Dalam pada itu, memetik laporan daripada MalaysiaKini, Presiden UMNO tersebut menegaskan bahawa ucapan yang disampaikannya itu adalah merujuk kepada pendakwaan politik dan terpilih.
Ini ucapan saya pada Perhimpunan MIC yang sedang ‘di-spin‘ (putar belit) musuh BN. Pada minit 2.35 dengan terang dan jelas saya menegaskan tentang pendakwaan politik dan terpilih.
Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU ke-15. Musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik.