Connect with us

Oh! Media

Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof Meninggal Dunia

Trending

Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof Meninggal Dunia

“Malam tadi adalah solat terawih terakhir kami yang diimamkan oleh baba, sebelum dia meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” kata Mohd Jawwad Md Yusnan, 27, anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof.

ADVERTISEMENT

Adun Melor itu dipercayai terjatuh di kediamannya pada jam 2.28 pagi hari ini akibat daripada serangan jantung. Anak ketiga daripada enam adik beradik itu berkata, bapanya bangun untuk ke bilik air pada jam 2 pagi sebelum terjatuh di tepi katil akibat daripada serangan jantung.

“Ketika terjatuh baba sempat menyebut kalimah Allah dan tidak mampu bercakap kemudiannya. Saya dan ibu terus menghubungi ambulans sebelum pasukan perubatan yang hadir memaklumkan baba sudah meninggal dunia.”

“Baba memang mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah membuat pembedahan pada 2018. Kami sekeluarga reda dengan pemergian baba yang pergi pada hari serta bulan yang penuh mulia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ketereh, hari ini.

Mohd Jawwad juga berkata bapanya seorang yang penyayang dan tegas kerana mementingkan solat berjemaah lima waktu. “Setiap hari sekiranya baba berada di rumah, baba sentiasa mengajak anak-anak serta ibu supaya solat berjemaah termasuk solat Subuh dan pesanan baba akan kami kenang sampai bila-bila.”

“Tiada perubahan ketara dapat dilihat pada baba melainkan hanya menjadi sedikit pendiam sejak seminggu lalu, namun baba masih aktif bekerja sehingga petang semalam,’ katanya.

Menurutnya, Jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Allahyarham Md Yusnan meninggalkan seorang isteri, Romaini Mat Daud, 52 dan enam orang anak berusia antara 22 hingga 29 tahun.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Adun Demit Datuk Mumtaz Md Nawi dan Adun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood.

Kredit : Harianmetro

Comments

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas