Connect with us

Oh! Media

Achey Sanggup Jual Motosikal Demi Menampung Kos Rawatan Bonda Tercinta

Trending

Achey Sanggup Jual Motosikal Demi Menampung Kos Rawatan Bonda Tercinta

Penyanyi dan pelawak, Achey Bocey sanggup membuat apa sahaja termasuk menjual barang kesayangannya seperti motosikal demi menampung kos rawatan ibunya, Ngaisah Hassan, 70, yang kini dirawat di pusat perubatan di Johor Bahru.

ADVERTISEMENT

Sebelum ini ibu Achey dirawat di Hospital Pakar Putra, Batu Pahat sebelum dipindahkan ke sini pada hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, Achey ketika dihubungi berkata, dia perlu berusaha mencari sumber kewangan yang lain meskipun wang simpanannya masih ada untuk menampung kos rawatan yang diperlukan ibunya.

“Dalam keadaan sekarang, cabarannya lebih besar. Saya tidak boleh nak guna wang simpanan saja tanpa berusaha mencari jalan lain.

“Jadi, saya memang sudah sedia nak jual harta kesayangan yang saya ada. Apa yang boleh dijual nanti termasuk motosikal, saya sanggup menjualnya. Jika ada rakan-rakan yang berminat nak beli, bersedia saja kerana saya mungkin akan melakukannya,” katanya kepada Harian Metro.

Achey juga berkata, dia juga mendapat bantuan daripada rakan-rakan di kampungnya yang berusaha mewujudkan tabung bantuan bagi mengumpul dana diperlukan untuk rawatan ibunya.

“Saya sangat terharu dengan usaha dibuat rakan-rakan kampung saya yang prihatin. Saya tak minta pun mereka wujudkan tabung bantuan itu, tapi mereka dengan rela hati melakukannya sebagai usaha membantu saya.

“Setakat ini, setahu saya sudah ada tujuh atau lapan tabung bantuan diwujudkan oleh rakan-rakan kampung saya. Terima kasih kepada mereka semua,” katanya.

Bercakap tentang ibunya, Achey berkata doktor ada melakukan ujian ‘ultra sound’ dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dapat mengesan masalah ‘blocking’ (tersumbat) di antara saluran hempedu dengan pankreas.

“Namun, apa penyakit sebenar emak belum dapat dipastikan lagi. Sebaik dipindahkan ke Johor Bahru, dia menjalani rawatan kolonoskopi (memasukkan kamera dalam perut) dan keputusan akan diketahui dalam tempoh seminggu,” katanya.

Achey berkata, masalah kesihatan ibunya mula merosot dalam tempoh dua bulan ini setelah suaminya, Hamzah meninggal dunia.

“Waktu itu dia mengalami masalah sebu perut. Sejak kebelakangan ini berat badannya juga turun mendadak hampir 20 kilogram. Saya bersama adik-beradik lain bimbang memikirkan apa sebenarnya penyakit emak.

“Kami bawa emak buat pemeriksaan doktor. Awalnya dimaklumkan emak mungkin mengalami gastrik kerana dia pun ada sejarah penyakit itu. Tapi, saya tak puas hati dan pujuk emak untuk bawa dia buat pemeriksaan dengan pakar.

“Semalam, apabila berjumpa pakar, rupa-rupanya dah ada macam-macam. Emak yang tak pernah ada kencing manis, tiba-tiba sudah ada dan bacaannya tinggi iaitu 30. Begitu juga dengan kandungan gula dan garam dalam badannya tak cantik. Jadi memang kena buat ujian darah dan didapati ada masalah,” katanya.

Walaupun hati berdebar dan kerisauan, Achey meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada adik-beradik, rakan dan isteri, Nor Hasanah Yahaya kerana banyak membantu serta memberi kata-kata semangat kepadanya.

Kredit : HarianMetro

Teruskan membaca..
Berita lain yang popular...
Comments

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas