Connect with us

Oh! Media

Throwback: Banyak Projek Mega Malaysia Dulu Pernah Dikritik Ramai, Tapi Lain Pula Ceritanya Sekarang

Branded

Throwback: Banyak Projek Mega Malaysia Dulu Pernah Dikritik Ramai, Tapi Lain Pula Ceritanya Sekarang

Kerajaan kedua-dua negara telah membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selepas gagal mencapai kata putus selepas tempoh penangguhan berakhir pada 31 Disember lalu.

Disebabkan pembatalan projek mega ini, pengguna laman sosial dilihat meluahkan rasa tidak puas hati dan mengecam projek berkenaan dengan pelbagai komen negatif. Namun ini membuatkan kita berfikir bagaimana nasib projek mega sebelum ianya dilaksanakan sebelum ini. Jika kita lihat, projek-projek sebelum ini turut dihentam teruk ketika dalam perancangan tapi setelah semuanya selesai, ternyata apa yang dikritik bukanlah seburuk disangkakan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Perancangan pembinaan KLIA bermula pada 1990 apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) dikatakan tidak mampu menampun jumlah penumpang yang tinggi di masa akan datang.

Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Dato’ Seri Mahathir bin Mohamad menyokong pembinaan KLIA. Keputusan beliau menerima kritikan dan mencetuskan kontroversi kerana lokasinya kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur dikatakan tidak sesuai. Selain itu kos pembinaan semakin meningkat berbanding takrifan awal.

Kini, KLIA mampu menerima 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo walaupun kita berdepan dengan pandemik seluruh dunia. KLIA berjaya mengharumkan nama negara apabila diiktiraf lapangan terbang yang pertama sekali di dunia untuk dianugerahkan sijil Airport Service Quality (ASQ) Assured daripada Airports Council International (ACI). 

Jambatan Pulau Pinang

Jambatan ini menghubungkan Pulau Pinang di Lebuhraya Gelugor, Bayan Lepas dengan tanah besar semenanjung di Seberang Perai. Ikon Pulau Pinang ini siap dibina sepenuhnya pada 1985, juga tidak terkecuali dilanda kontroversi. Seorang ahli politik pembangkang ketika itu mengancam untuk terjun bunuh diri dari jambatan itu kerana mendakwa ianya satu pembaziran.

Jambatan ini merupakan jambatan yang kedua terpanjang di Malaysia dan kelima terpanjang di Asia Tenggara. Jambatan mempunyai panjang kira-kira 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut.  Ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia. Bayangkan hari ini, jika Jambatan Pulau Pinang tidak wujud, dan penduduk dan pelancong perlu bergantung kepada feri untuk ke negeri itu?

LRT

Ketika Malaysia dalam proses merevolusikan sistem pengangkutan awam pada 1984 oleh Menteri Wilayah ketika itu, Shahrir Abdul Samad memperkenalkan sistem transit aliran ringan (LRT). Ramai yang skeptikal ketika itu kerana membabitkan kos yang cukup besar untuk perbelanjaan negara.

Setelah pelbagai halangan ditempuhi, LRT kemudiannya siap dibina dan beroperasi pada 1998. Sistem ini mempunyai 36 stesen untuk dua laluan, Sentul Timur – Ampang dan Sentul Timur – Sri Petaling.

Pada 2019 sahaja, LRT Laluan Kelana Jaya mencecah 329,406 penumpang diikuti Laluan Ampang-Sri Petaling yang dinaiki 213,158 penumpang. Secara keseluruhan, Kumpulan Prasarana yang menguruskan LRT mempunyai penumpang berjumlah 1.4 juta penumpang pada 2019.

Projek-projek berskala besar tidak akan terlepas dari kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang berkemungkinan menghukum tanpa kefahaman yang menyeluruh mengenai sesuatu isu. Projek yang berjaya memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya terbukti terpaksa berdepan dengan masalah seperti tentangan sesetengah pihak disebabkan isu perbelanjaan tinggi terpaksa dikeluarkan.

Namun, dalam jangka masa panjang, projek sebegini terbukti berjaya memberi kemudahan kepada orang ramai. Tiba masa kita untuk lebih terbuka menerima idea baru dan tidak terlalu cepat menjatuhkan sesuatu hukum tanpa tahu hujung pangkal.

Untuk projek HSR ini, kita sebagai rakyat hanya perlu tunggu dan lihat dengan apa tindakan lanjut kerajaan. Walaupun masih tidak pasti apa nasib projek mega ini, kita cuma mampu berharap yang terbaik untuk semua dan tidak cepat mengkritik.

Comments

Lagi dalam kategori Branded

Ke Atas