Connect with us

Oh! Media

#RENUNGAN Guna Vicks Untuk Legakan Hidung Tersumbat, Adakah Ia Membatalkan Puasa?

hukum menghidu vicks pada bulan puasa

Oh! Islam

#RENUNGAN Guna Vicks Untuk Legakan Hidung Tersumbat, Adakah Ia Membatalkan Puasa?

Jangkitan virus Covid-19 akan menyebabkan seseorang itu mengalami simptom seperti batuk, sakit tekak, hidung tersumbat dan sebagainya.

ADVERTISEMENT

BACA: #RENUNGAN Semakin Ramai Bangga Tayang Dosa & Lakukan Maksiat Untuk Popular, Apa Hukumnya?

Sudah pasti banyak inisiatif yang boleh dilakukan oleh semua pembaca bagi mengurangkan simptom yang ada pada diri lebih-lebih lagi selepas didapati positif Covid-19. Antaranya termasuklah dengan menggunakan vicks bagi melegakan hidung yang tersumbat.

Namun begitu, adakah penggunaan vicks sewaktu bulan Ramadan itu dibolehkan ataupun ia merupakan salah satu perkara yang boleh membatalkan puasa?

Berikut kami kongsikan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Soalan

Assalamualaikum WBT. Apakah hukum seseorang yang menggunakan vicks inhiler ketika berpuasa untuk melegakan hidung yang tersumbat?

Jawapan

Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

Surah al-Baqarah (187)

Berdasarkan ayat al-Quran yang telah disebutkan sebelum ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. (Rujuk: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Oleh yang demikian, sekiranya sampai ain (suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar) kepada rongga dalam daripada saluran yang terbuka maka ia boleh membatalkan puasa.

Berkenaan masalah vicks kebiasaannya seseorang akan menghidu bau (aroma) daripada vicks iaitu seperti aroma mentol atau mint untuk melegakan hidung tersumbat. Oleh itu benda yang masuk melalui hidung adalah (aroma) iaitu angin dan bukanlah ain.

Para ulama membahaskan mengenai hukum memasukkan angin, aroma atau bau melalui saluran yang terbuka sebagaimana ayang dijelaskan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori:

(Hendaklah seseorang) mengelakkan sampainya ain yang bukan angin dan bau yang terzahir daripada saluran yang terbuka. (Rujuk: Fath al-Wahhab, 1/208).

Kata beliau lagi:

Bahawasanya berbuka puasa itu ialah sesuatu yang masuk (ke dalam badan) dan bukanlah sesuatu yang keluar, iaitu mengikut kaedah yang asal, dan terkeluar daripada (maksud) ain ialah kesan (suatu perkara) seperti sampainya angin disebabkan mencium (sesuatu) ke otaknya dan rasa (suatu perkara) dengan merasainya sehingga ke halkumnya. (Rujuk: Asna al-Mathalib, 1/415).

Shaikh Abdul Rahman Ba’lawi menjelaskan hukum menghidu bauan dengan sengaja, kata beliau:

Tidaklah memudaratkan (membatalkan puasa) sampainya bauan dengan menghidu melalui hidung begitu juga mulut, seperti bau asap kemenyan atau seumpamanya ke rongga dalam sekalipun dilakukan dengan sengaja kerana ia bukan kategori ain. (Rujuk: Bughyah al-Mustarsyidin, 1/213).

Berdasarkan beberapa kenyataan para ulama di atas menghidu aroma daripada vicks adalah tidak membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja kerana ia bukanlah dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (aroma vicks) tersebut. Walau bagaimanapun, hukum mencium bau wangi-wangian atau seumpamanya ketika sedang berpuasa adalah makruh.

Sebaiknya seorang yang berpuasa haruslah meninggalkan perbuatan mencium wangi-wangian atau aroma tertentu kerana perbuatan tersebut adalah makruh dan boleh mengurangkan pahala puasa. Namun sekiranya terdapat keperluan atau untuk tujuan kesihatan maka ia diharuskan menurut fuqaha.

Kredit: Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Ke Atas